BENTLEY S2 CONTINENTAL GUNA ELEKTRIK! DIUBAH SUAI LUNAZ DESIGN DI UK
Hebat industri kereta elektrik sekarang apabila kereta klasik boleh diubah suai untuk menggunakan tenaga elektrik.
Projek ubah suai itu melibatkan transformasi elektrik sebuah Bentley S2 Continental oleh Lunaz Design di United Kingdom.
Bukan calang-calang kereta, Bentley S2 Continental tahun 1961 itu hanya satu daripada empat buah yang pernah dihasilkan.
Ini adalah kereta klasik paling ‘rare’ yang diubah suai menggunakan kuasa elektrik penuh. Dalam spesifkasi asal, Bentley itu digerakkan enjin 6.2 liter V8 petrol.
Bukan setakat pemasangan nadi baharu, Lunaz Design turut membaik pulih dan membuat beberapa pengubahsuaian.
Proses baik pulih dan pengubahsuaian bermula dengan pemeriksaan dan penilaian terperinci bagi mengenalpasti konfigurasi casis, rangkaian kuasa dan suspensi.
Jurutera Lunaz Design menggunakan imbasan 3D bagi menghasilkan model CAD sebagai asas untuk pengubahsuaian dan kerja-kerja pembinaan semula yang diperlukan.
Badan kereta ditanggalkan sehingga rangka besi dan dibuat semula seperti keadaan baharu menggunakan kaedah pembinaan dan teknik baik pulih tradisional.
Secara asasnya sebarang komponen luar dan dalam dibaiki dan diberi lapisan baharu dan komponen yang tidak boleh digunakan dikitar semula.
Rangkaian kuasa elektrik untuk Bentley S2 memang sudah ada dan dibangunkan Lunaz menggunakan kaedah modular.
Dari situ jurutera Lunaz boleh membuat pelarasan komponen mengikut karakter kereta dan pilihan pemiliknya.
Sel bateri, penyongsang dan motor dibuat oleh pembekal Tier 1 Eropah mengikut spesifikasi Lunaz.
Seperti yang diminta pelanggan, Bentley S2 ini menggunakan rangkaian kuasa elektrik 400 bhp dengan tork 718.5Nm. Pecutan 0 hingga 100 km/j hanya memerlukan 6.9 saat.
Sistem gantungan asal diganti suspensi gegelung boleh laras penuh dengan peredam lever arm dan boleh dilaras secara elektronik dari dalam kereta.
Sistem brek dengan teknologi regenerasi bateri dipadan bersama angkup enam omboh di depan dan empat omboh di belakang.
Sesuai dengan tema lestari, kebanyakan bahagian dalam kereta klasik ini diperbaharui menggunakan bahan yang dikitar semula.
BACA: MUNRO MK_1, 4X4 ELEKTRIK DARI BRITAIN, HARGA MULA RM260 RIBU!
BACA: DIRECT CARS CIPTA BR75 SUV ADVENTURE CAMPER, TAWAR DUA VARIAN TOYOTA HILUX, HARGA BERMULA RM361K
BACA: NISSAN CARAVAN AUTECH UNTUK JEPUN, VAN DENGAN IMEJ SPORTI DAN MEWAH!