
RANGKAIAN 7 MODEL EV AUDI KINI DIBUKA UNTUK TEMPAHAN. PREBIU RS E-TRON GT, BERMULA RM749K
Seperti yang diumumkan oleh PHS Automotive Malaysia (PHSAM) pada acara media prebiu hari ini, rangkaian model elektrik Audi yang ditunggu-tunggu dijangka melakukan debut di Malaysia tidak lama lagi.
Sudah dibuka untuk tempahan, rangkaian Q8 e-tron baharu yang terdiri daripada varian SUV dan Sportback bakal dijual pada harga bermula RM369,000 hingga RM476,000. Model e-tron GT quattro pula dijangka ditawarkan pada harga bermula RM559,000 hingga RM643,000.
Sementara jentera berprestasi tinggi RS e-tron GT sudah boleh ditempah dengan harga di antara RM749,000 dan RM769,000.

Audi mula memasuki era elektromobiliti pada tahun 2018, sekali gus menjadi pemangkin kepada masa depan elektrik jenama berkenaan. Q8 e-tron kini menetapkan standard baharu dalam segmen SUV elektrik mewah.
Varian tertinggi SUV dan sportback elektrik itu mengagumkan ramai dengan konsep pemanduan yang dioptimumkan, tahap aerodinamik lebih baik, prestasi pengecasan lebih pantas, kapasiti bateri 114kWh dan peningkatan jarak gerak sehingga 600 kilometer.
Ciri-ciri utama yang ada termasuklah lampu projektor singleframe serba baharu, lampu utama LED digital matrix dan cermin luaran maya pertama seumpamanya di dunia yang dipasang pada sebuah EV.
Bukan itu sahaja, Malaysia akan menjadi salah satu negara pertama di Asia yang menerima Q8 e-tron selepas produksi pertamanya bagi tahun 2023 diperkenalkan.

Dengan reka bentuk emotif dan teknologi yang revolusionari, e-tron GT coupé yang memenangi anugerah menginterpretasikan kembali idea klasik gran turismo: Satu hasil kerja seni yang teknikal, e-tron GT quattro dan RS e-tron GT menawarkan kegunaan setiap hari yang cemerlang dan mampu dipandu dalam jarak jauh sehingga 501km.
Kuasanya boleh dirasai serta-merta dan RS e-tron GT mampu memecut dari 0-100km/j dalam masa hanya 3.3 saat.
e-tron GT menyerlahkan sistem quattro elektrik termaju, brek keluli bersama saduran tungsten karbida untuk memberi lebih ketahanan dan bumbung karbon (pada varian RS dan e-tron GT dengan Dynamic Package).

Pengarah Urusan PHSAM, Erik Winter yakin bahawa model-model mewah berprestasi tinggi Audi akan menawarkan pengalaman pemanduan yang luar biasa buat pemiliknya.
“Rangkaian model e-tron telah dibina khas sepenuhnya dengan memberi penekanan terhadap aspek prestasi. Ia mengukuhkan lagi identiti Audi sebagai perintis masa depan dan menjadi bukti terbaik aspirasi teknologi Audi.
“Saya sangat gembira untuk mengumumkan rangkaian penuh Audi e-tron yang merangkumi model sedan, SUV, sportback dan RS akan berada di pasaran dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” kata Erik.
Sebelum melancarkan rangkaian model e-tron pada pertengahan tahun 2023, Audi sebenarnya sudahpun membangunkan pelbagai perkhidmatan selepas jualan dan program jaminan yang direka khusus untuk jentera elektrik demi meningkatkan tahap kesetiaan, keyakinan serta pengalaman pelanggan.

Semua juruteknik servis Audi telah dan akan terus menjalani latihan, penilaian dan persijilan sebagai sebahagian daripada usaha kemasukan EV Audi Malaysia ke pasaran tempatan.
Untuk tempoh terhad, Audi RS e-tron GT boleh dilihat secara dekat di bilik pameran Audi di Glenmarie, Juru dan Setia Alam. Ia juga akan dipamerkan pada acara Audi Showcase di 1Utama Shopping Centre hujung bulan ini iaitu bermula 22 hingga 26 Februari 2023.
Tempahan boleh dibuat di mana-mana Audi Centre. Maklumat lanjut, sila layari laman web Audi Malaysia’s website
- BACA: AUDI SQ8 SPORTBACK e-tron – SUPER DUPER WOW!
- BACA: AUDI LANCAR E-TRON GT SERBA CANGGIH DAN MEWAH, GUNA TEKNOLOGI TAYCAN. HARGA BERMULA RM489,175
- BACA: AUDI MUNCUL DENGAN LOGO BAHARU. KEMASAN DUA DIMENSI BERWARNA HITAM PUTIH
- BACA: AUDI LANCAR E-TRON GT SERBA CANGGIH DAN MEWAH, GUNA TEKNOLOGI TAYCAN. HARGA BERMULA RM489,175
GALERI





