
DIRECT CARS HASILKAN BR75 SUV ADVENTURE CAMPER. GUNA TOYOTA HILUX, IDAMAN SETIAP KAKI CAMPING
Syarikat Direct Cars dari Jepun mencipta BR75 SUV Adventure Camper yang berasaskan dua varian Toyota Hilux dan sedang dipamerkan di Japan Camping Car Show 2023. Melihat pada imej, pastinya geng-geng ‘healing’ akan tertarik dengan BR75.
BR75 dibina di atas trak pikap dual-cab Toyota dengan tambahan overhang belakang lebih panjang serta sambungan berbentuk aerodinamik di atas kabin. Lebih menarik, khemah tersebut mampu memuatkan lima penumpang termasuk ruang tidur untuk dua dewasa dan dua kanak-kanak di belakang.
Satu lagi ciri menarik ialah ruang tamu yang boleh diakses dari kabin kenderaan. Ini bermakna anda tidak perlu keluar untuk bergerak ke sana ke mari dan sesuai ketika menghadapi cuaca buruk atau pada waktu malam.

Seterusnya ialah bahagian dalam di belakang, terdapat panel kayu untuk memberikan nuansa mewah, selain mempunyai ruang makan begitu selesa yang dipadankan dengan meja boleh lipat dan dua buah bangku.
Ciri lain termasuklah bahagian bumbung pop-up bagi memudahkan cahaya masuk ke dalam ruang kabin di siang hari.
Ruang makan boleh ditukar menjadi katil berukuran 2,300mm panjang yang sesuai untuk orang dewasa. Manakala katil lipat kedua berukuran 1,660mm panjang boleh diletakkan di atas kabin kenderaan dan memuatkan dua orang kanak-kanak.
Ruang tamu juga dilengkapi pendingin hawa bersaiz penuh untuk membolehkan pengguna mengekalkan suhu optimum. Unit pendingin hawa tersebut diletakkan kemas di bawah bampar belakang.
Akhir sekali, kenderaan itu dilengkapi bilik kedua di bahagian belakang. Di sana terdapat pancuran mandian, lantai kalis air dengan longkang, singki, cermin, meja dan beberapa ruang penyimpanan tambahan.
Kenderaan itu jdilengkapi tangki air 85 liter, tangki air bersih 20 liter dan tangki longkang 45 liter. Selain alur kuasa di ruang tamu, terdapat dua lagi alur kuasa luaran di bahagian belakang untuk pelbagai peranti elektronik.
BR75 mampu menyediakan ciri di atas disebabkan oleh bateri sekunder 200Ah yang besar serta boleh dicas semasa memandu, selain mempunyai panel solar 200W di atas bumbung.
Dari segi kos, Direct Cars kini menawarkan dua varian iaitu Toyota Hilux Z, bermula pada harga AS$83,931 (RM361,406), manakala model spesifikasi penuh berdasarkan Toyota Hilux GR Sport, boleh dibeli pada harga AS$95,121 (RM409,591).
GALERI:







