
NISSAN CARAVAN AUTECH UNTUK JEPUN, VAN DENGAN IMEJ SPORTI DAN MEWAH!
Nissan Caravan atau Urvan adalah sebuah van yang telah diperkenalkan pada tahun 1973. Model terdahulu dikenali sebagai Prince Homy dan dikeluarkan pada tahun 1965 atau setahun sebelum Prince dan Nissan bergabung.
Dengan usia yang panjang, Caravan di pasaran sekarang adalah dari generasi keenam dan dikeluarkan sejak tahun 2012. Di sesetengah pasaran seperti negara kita, Caravan dikenali sebagai NV350.
Terbaru di Jepun, Nissan memperkenalkan Caravan petrol dengan beberapa naik taraf dan menariknya Caravan Autech yang tampil sporti.
Secara asasnya Caravan di Jepun bukan setakat van mengangkut barang tetapi juga digunakan sebagai kenderaan untuk hobi dan aktiviti luar.
Caravan juga canggih dengan kesemua varian dilengkapi brek kecemasan pintar.
Untuk model terbaru ini, Nissan telah mempertingkatkan kecekapan bahan bakar dan menambah suis audio pada stereng dan kawalan telefon bebas tangan pada beberapa model teratas Caravan Van dan Caravan Minibus.
Juga diubah ialah bentuk pemegang cawan.
Selain dua model tersebut, Caravan turut ditawarkan dalam versi Wagon dan secara keseluruhannya sejumlah varian seperti Caravan Premium, Pro dan sebagainya.
Enjin pula ada tiga iaitu 2.0L QR20DE, 2.5L QR25DE dan 2.4L QN14 turbo dengan transmisi automatik tujuh kelajuan 7M-ATx.
Dari banyak varian yang ditawarkan, Caravan Autech tampil dengan sentuhan sporti dan mewah yang merupakan identiti tersendiri berbanding NISMO yang lebih agresif.
Satu lagi identiti Autech ialah warna biru yang melambangkan lautan dan langit Shonan dan Chigasaki iaitu tempat lahirnya jenama Autech.
Versi Autech yang ditawarkan ini diposisikan sebagai gred tertinggi Caravan dan tidak hanya biru, Caravan Autech boleh dipesan dalam warna Pure White Pearl,Midnight Black dan Dark Metal Gray.
Perbezaan ketara yang boleh dilihat pada Caravan Autech ialah gril dengan corak berbintik yang juga identiti kenderaan jenama itu.
Juga berbeza ialah penambahan lips warna perak pada bampar depan dan lampu LED berwarna biru.
Tidak dibiarkan kosong, dipasangkan skirt sisi di bawah pintu dan bersambung hingga ke belakang termasuk spoiler yang menyerlahkan penampilan keseluruhan van ini.
Roda juga tidak sama, saiz 15 inci dengan kemasan dua warna perak dan hitam.
Pada bahagian dalam, kerusi dibalut kulit tiruan yang lembut untuk disentuh dan tahan lasak serta kalis air. Menariknya, corak kerusi dibuat seperti permukaan laut.
Identiti Autech diserlahkan lagi dengan sulaman biru pada stereng, kerusi dan tombol gear.
Menggerakkan Caravan Autech ialah dua pilihan enjin iaitu 2.0L QR20DE dan 2.4L QN14 turbo dengan transmisi automatik tujuh kelajuan 7M-ATx. Pilihan pacuan pula ada dua iaitu 2WD dan 4WD.
Secara keseluruhan ada tujuh spesifikasi untuk Caravan Autech.
Berkenaan harga, Caravan Autech dijual dari 3,390,200 yen (RM109,491) bagi varian asas Van 2WD 2.0L dan 4,523,200 yen (RM146,083) untuk varian tertinggi Autech Van 2.4L 4WD.
BACA: NISSAN GABUNG AUTECH DAN NISMO JADI SATU SYARIKAT!
BACA: NISSAN Z MASUK AUSTRALIA, DARI RM225K, ADA MANUAL DAN AUTOMATIK
BACA: NISSAN ALMERA 2022 DIPERKENAL DI THAILAND, BUMBUNG HITAM ENJIN KEKAL 1.0L TURBO









