
BERAPA LAMA BATERI KERETA ELEKTRIK BOLEH BERTAHAN SEBELUM DIGANTI?
Bergantung kepada cara pemanduan dan juga penyelenggaraan, sebuah kereta dengan enjin petrol boleh dipandu sejauh 320,000km tanpa sebarang masalah besar dan memerlukan pembaikan besar-besaran. Bagi enjin diesel, angka ini boleh meningkat sehingga 5 kali ganda.
Tapi bagaimana pula dengan kereta berkuasa elektrik? Penulis telah menemui satu artikel terbitan Carsguide Australia yang menarik berkenaan jumlah jarak perjalanan yang boleh dilakukan oleh kereta elektrik sebelum keadaan bateri kereta mulai merosot
Berikut ialah artikel yang diterbitkan oleh Carsguide Australia.
Kebanyakan pembuat kereta memberi jaminan yang bateri dipasang pada kereta elektrik sehingga 8 tahun jaminan atau 160,000km dan terdapat beberapa unjuran antara 10 tahun sehingga 20 tahun. Berita baiknya, jika selepas tempoh ini bateri mulai merosot maka pengguna boleh memilih untuk menggantikan dengan bateri baru dan pilihan ini lebih murah berbanding dengan beli kereta baru

Kebanyakan pengguna berharap bateri ion lithium yang digunakan pada kereta elektrik mereka boleh bertahan lama. Tambahan pula bateri merupakan komponen yang mahal dalam penghasilan kereta elektrik selain daripada motor elektrik
Untuk pasaran Australia, beberapa pengeluar kereta elektrik seperti Tesla, Audi, Mercedes-Benz, BMW dan Nissan memberi jaminan yang bateri ion lithium yang digunakan boleh bertahan sehingga 8 tahun atau 160,000km. Mereka juga membuat jangkaan selepas tempoh ini, bateri ion lithium masih berupaya beroperasi pada kada 70% daripada kapasiti asal
Keadaan di atas adalah selari dengan penerimaan umum yang bateri kereta elektrik boleh bertahan antara 10 sehimgga 20 tahun, dan keadaan bateri akan semakin merosot apabila usianya melebihi 10 tahun. Sama seperti komputer riba dan telefon pintar, bateri dalam peralatan elektronik akan mengambil masa lama untuk dicaj dan perlu dicaj dengan kerap apabila semakin berusia
Berita baiknya pula, jangkahayat dan ketahanan bateri pada kereta elektrik menjadi semakin bagus disebabkan kemajuan teknologi terutama dalam bidang kimia dilakukan secara berterusan.

Salah satu faktor penting yang menentukan jangkahayat bateri ialah bagaimana bateri dalam kereta elektrik terdedah kepada suhu sewaktu digunakan. Bateri kereta elektrik tidak boleh terlalu panas dan sejuk bagi operasi yang optimum
Suhu bagi operasi kereta elektrik yang optimum ialah antara 0 sehingga 27 darjah Celcius. Jadi jika kita menggunakan kereta elektrik di luar julat suhu ini, ia akan mempercepatkan proses degradasi bateri. Sebagai contoh Tesla memasang sistem kawalan thermal pada pek bateri bagi memastikannya tahan lebih lama dan boleh dicaj dengan pantas
Menggunakan sistem pengecasan pantas adalah bagus jika anda perlu sampai ke destinasi dengan cepat, tapi jika dilakukan dengan kerap ia akan menjadikan bateri dicaj sehingga 80% dalam masa 20 ke 30 minit menyebabkan suhu bateri meningkat dan menyebabkannya cepat rosak
Menggunakan semua kuasa bateri sehingga menjadi 0% boleh menyebabkan tekanan kepada bateri dan mempercepatkan proses degradasi, jadi idea yang bagus ialah mengecaj bateri antara 20% ke 80% bagi pemanduan biasa, melainkan anda perlu memandu jauh maka anda perlu mengecajnya sehingga 100%

Jika pemilik bercadang untuk tidak menggunakan kereta elektrik dalam tempoh yang lama, tinggalkan kereta dalam keadaan caj bateri berada antara 20 sehingga 80%. Bukannya 0% atau 100% penuh. Peraturan ini tidak terpakai jika anda memandu Tesla 3 atau Y yang menggunakan bateri Lithium Iron Phosphate
Antara tanda-tanda bateri mulai merosot ialah keupayaannya untuk menyimpan caj elektrik telah menjadi semakin kurang, bukannya ia rosak terus. Sama seperti komputer riba yang menggunakan bateri ion lithium atau telefon pintar.
Anda akan perasan komputer riba semakin kerap perlu dicaj dan tidak boleh digunakan dengan lama walaupun memiliki caj penuh. Ini memaksa anda mengecaj peranti elektronik anda dengan kerap berbanding waktu baru dulu.
Berita baiknya, anda boleh menggantikan pek bateri yang rosak. Malah sesetengah bateri boleh digantikan secara sel individu bukannya keseluruhan. Tapi harga bateri ini bergantung kepada saiz bateri, jenama, dan teknologi bahan kimia kerana ion lithium direka daripada pelbagai campuran bahan kimia
Malah sesetengah pengeluar syarikat akan memberi diskaun kredit pada bateri lama dan kredit ini digunakan untuk membeli bateri baru. Bateri lama tadi akan dikitar semula bagi menghasilkan bateri baru