Buletin

HYUNDAI LANCAR GRAND CRETA UNTUK PASARAN AFRIKA

Di pasaran Afrika Selatan, Hyundai baharu sahaja melancarkan model SUV tiga baris tempat duduk Grand Creta 2022 (atau nama lainnya Hyundai Alcazar di India).

Sebagai info, Grand Creta dibangun menggunakan platform K2 (Kia Seltos, Hyundai Venue) yang telah diubahsuai, dengan menggunapakai elemen rekaan daripada model Creta pra-facelift.

Secara tidak langsung, Grand Creta dilihat amat sesuai duduk di dalam barisan keluarga SUV Hyundai sedia ada, disebabkan penampilan yang lebih agresif.

Dari segi ukuran, Grand Creta mempunyai dimensi 200 mm lebih panjang, dengan jarak antara roda 150 mm lebih panjang berbanding model Creta.

Ruang kargo adalah sebesar 180 liter, dan boleh bertambah kepada 1,670 liter apabila tempat duduk baris ketiga dilipat.

Di sana, Hyundai Grand Creta ditawarkan dengan dua pilihan enjin, di mana versi asas didatangkan dengan nadi 2.0 liter aspirasi natural yang menghasilkan 156 hp dan 191 Nm, diikuti versi 1.5 liter diesel turbo yang mampu menjana 113 hp dan 250 Nm.

Transmisi manual enam-kelajuan adalah standard dengan sistem pacuan roda depan, namun pelanggan boleh mendapatkan varian yang dilengkapi dengan transmisi automatik enam kelajuan.

Antara kelengkapan standard termasuklah kamera undur, skrin infotainmen lapan inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, lampu LED dengan rim bersaiz 17 inci, sementara varian yang lebih tinggi mendapat skrin kluster instrumen 10.2 inci dan rim bersaiz 18 inci.

Harga jualan bermula dari 449,900 Rand (RM129,622).

Google ads
Back to top button