Buletin

LOTUS TECHNOLOGIES BAKAL DISENARAIKAN DI NASDAQ, NILAI CECAH RM22.9 BILION

Lotus menyenaraikan Lotus Technologies di bursa saham NASDAQ dan memilih bergabung bersama L Catterson Asia Acquistion.

Ini adalah firma yang disokong oleh Bernard Arnault, salah seorang pengasas LVMH Moët Hennessy Louis Vuitton, dan menurut Forbes, merupakan orang terkaya di dunia.

Perjanjian itu dikatakan bernilai AS$5.4 bilion (RM22.9 bilion) dan pemegang saham sedia ada dalam Lotus Technology, seperti Geely, Etika Automotive serta Nio Capital akan mengekalkan 89.7 peratus kepentingan dalam syarikat.

Walaupun Lotus Cars bekerjasama rapat dengan Lotus Technologies, ia masih dimiliki secara berasingan oleh Geely dan Etika Automotive yang berpangkalan di Malaysia.

Pada 2017 Geely membeli 51 peratus kepentingan dalam Lotus dan 49 peratus Proton daripada konglomerat Malaysia DRB-HICOM.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian, Lotus Technologies akan menjadi pengedar global untuk kenderaan berjenama Lotus dan mempunyai pilihan untuk membeli Lotus Cars pada masa hadapan.

Kenderaan pertama jenama itu Eletre ialah crossover elektrik yang diperkenalkan pada Mac 2022 dan akan mula dijual di China pada suku pertama 2023.

Seperti mana-mana jenama lain, jualan rangkaian gaya hidup Lotus dijangka membawa hasil pulangan yang besar, selain tetap fokus pada pembangunan serta jualan kenderaan sedia ada.

Penghasilan rangkaian kenderaan gaya hidup Lotus akan dibuat di China di kilang milik Geely yang mempunyai kapasiti tahunan sebanyak 150,000 unit kenderaan.

Pada masa ini, Lotus Technology memiliki kemudahan penyelidikan dan pembangunan di Coventry, UK, Frankfurt, Jerman, serta tiga pusat di China, yang terletak di Wuhan, Shanghai dan Ningbo.

Google ads
Back to top button