Buletin

BERLUMBA DI AKLEH, PEMANDU PROTON SATRIA & PUTRA DITAHAN

Ingin mencuba kelajuan enjin yang baru diubah suai, empat orang lelaki ditahan polis kerana berlumba di Lebuhraya Bertingkat Ampang- Kuala Lumpur (AKLEH), malam semalam.

Mereka semua ditahan bersama dua buah kereta jenis Proton Satria dan Proton Putra dalam operasi khas yang diketuai oleh ASP Risikan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Ahmad Fuad Mahmod kira-kira jam 11 malam.

Operasi dijalankan susulan aduan orang awam yang melihat dua buah kereta berlumba di lebuh raya berkenaan.

“Kedua-dua pemandu kereta terbabit memandu secara berbahaya dengan membuat aksi ‘zig-zag’ dan melakukan aksi kejar mengejar seperti berlumba dengan membuat empat pusingan untuk menguji kelajuan.

“Hasil soal siasat mendapati kenderaan itu baru selesai diubah suai bagi menambah kelajuan. Jadi, mereka ingin menguji keupayaan enjin masing-masing di lebuh raya berkenaan,” kata Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya. 

Menurut Zulkefly, dua orang pemandu dan dua penumpang berusia antara 18 hingga 26 tahun ditahan bagi membantu siasatan. Mereka terdiri daripada dua orang mekanik, seorang penuntut universiti dan seorang peniaga kantin.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara berbahaya. – Berita Harian 

Tags
Google ads
Back to top button