Buletin

MYVI BERLUMBA, BUDAK 2 TAHUN TERCAMPAK DI LORONG KANAN LEBUH RAYA PLUS

Kerana berlumba di atas lebuh raya, seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun nyaris maut dilanggar kereta lain selepas tercampak keluar daripada sebuah kereta. 

Insiden mengejutkan itu berlaku di Kilometer 235.5 Lebuhraya PLUS Ayer Keroh-Senawang arah utara dekat Seremban pada 3.21 petang semalam. Ia berlaku kerana kereta yang dipandu oleh bapanya dilanggar oleh sebuah kereta lain. 

Dalam klip video berdurasi satu minit itu, kelihatan dua buah Perodua Myvi berwarna dan biru dikatakan berlumba sesama sendiri. 

https://www.facebook.com/caretadotmy/videos/724153054781678/

Kemalangan berlaku apabila Myvi putih yang dipandu secara berbahaya secara tiba-tiba menukar haluan dari sebelah kiri ke kanan. Tindakan itu membuatkannya terlanggar sebuah Honda Civic berwarna putih yang kemudian hilang kawalan dan melanggar penghadang jalan. 

Pelanggaran itu menyebabkan kanak-kanak tersebut tercampak keluar daripada Honda Civic dan jatuh di atas lorong kanan lebuh raya. Mujur kereta berwarna biru sempat mengelak dan kereta yang merakam video ini memberhentikan kereta. 

Sebuah trak kemudian berhenti dan mendukung kanak-kanak terbabit. Tidak lama kemudian, seorang lelaki yang memakai baju berwarna merah dipercayai bapa kanak-kanak itu mengambilnya daripada pangkuan pemandu trak berkenaan. 

Mangsa yang mengalami kecederaan ringan dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk menerima rawatan lanjut. 

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sembilan, Superintendan Ibrahim Abd Kadir memberitahu, pihak polis sudah mengenal pasti kedua-dua kenderaan yang memandu secara berbahaya itu. 

Tindakan akan diambil mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Harian Metro

Google ads
Back to top button