Artikel Pilihan

PROTON SATRIA 1.3 GL 1997 – RESIPI ORIGINAL DARI KILANG

Satria 1.3 GL apa yang hebatnya? Kenapa tak convert jadi GTI je, lagi senang nak jual. Nak cari yang convert memang berlambak dalam pasaran sebenarnya tuan-tuan, tapi unit yang ditemui oleh Classic Automobile Renaissance ni memang rare habis. Kenapa rare? Bukan banyak ke dok parking bawah pokok di kawasan pakir sekitar KL?    

Meh nak terangkan sikit. Satria 1.3 merupakan varian paling rendah darjatnya dalam barisan model Satria tapi apa yang istimewanya ialah keadaan fizikal kereta yang dipaparkan ini yang masih kekal dalam keadaan asal walaupun selepas 23 tahun. Macam mana ia keluar dari kilang macam itulah keadaannya sekarang.

Sebagai sebuah Satria yang dikategorikan varian bajet, Satria 1.3 GL ini masih dikekalkan dengan bahagian-bahagian luaran yang tidak disaluti cat contohnya pada bahagian bampar, cermin sisi dan pembuka pintu. Carilah Satria lain di luar sana boleh dikatakan semuanya sudah dicat lain ataupun setidak-tidaknya bahagian yang terdedah tadi sudahpun dilayangkan dengan cat yang sewarna dengan badan.

Tengok bahagian badan pun kita akan dapat lihat yang ia masih kekal dengan cat asal lengkap dengan semua pelekat yang ditampal dari kilang. Satu lagi ciri Satria ialah ia tidak mempunyai emblem ataupun logo timbul seperti kereta lain. Ia cuma menggunakan tulisan ataupun hiasan belakang yang dihasilkan dari pelekat. Itupun masih ada terletak kemas di belakang.

Satria 1997 merupakan model facelift daripada Satria sebelumnya yang mempunyai banyak persamaan dengan Mitsubishi Mirage/Colt. Ia merupakan facelift kedua dan mempunyai rekaan rim yang sedikit berbeza. Malah jika diperhatikan betul-betul, korang mesti perasan yang Satria ini mempunyai wiper belakang. Model awal Satria 1.3 mana ada wiper belakang termasuklah Satria Neo 1.3 yang lebih moden.

Satria ini bukannya dalam keadaan berkilat-kilat seperti dalam bilik pameran tetapi ia masih dalam keadaan asal tanpa sebarang modifikasi. Kemik-kemik sedikit itu biasa tetapi melihatkan keadaan tayar dan rim yang bebas dari habuk dan minyak membuktikan yang pemilik memang sangat menjaga kereta ini

Mungkin bagi setengah pihak kereta ini sekadar sebuah kereta biasa dan boleh ditemui di mana sahaja tetapi sebenarnya untuk menemui kereta seusia dengan Satria ini tanpa secoles mekap pun memang sangat sukar sebenarnya. Ia boleh dikirakan sebagai secebis sejarah dunia automotif dan merupakan sebuah artifak yang bergerak untuk tatapan generasi akan datang.

Tahniah kepada pemilik kerana masih berjaya mengekalkan Satria ini dalam keadaan asal selepas lebih 20 tahun berlalu.

Kredit kepada FB Classic Automobile Renaissance

Mazda CX30
Tags
Google ads
Back to top button