Buletin

TIKET DOMESTIK AIRASIA DAN PENGINAPAN PERCUMA UNTUK PETUGAS BARISAN HADAPAN HKL

AirAsia akan menawarkan penerbangan percuma ke destinasi domestik terpilih di Semenanjung Malaysia dalam menyokong usaha Ormond Group yang memberikan penginapan percuma untuk petugas barisan hadapan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Dalam kenyataan bersama hari ini, mereka berkata inisiatif itu sebagai menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan HKL yang telah bekerja keras menjaga kesihatan rakyat Malaysia ketika penularan wabak COVID-19.

“Dalam semangat #InThisTogether, kami gembira dapat bekerjasama dengan Ormond Group dan menawarkan penerbangan percuma ke destinasi domestik di Semenanjung Malaysia kepada petugas barisan hadapan HKL.

“Mereka semua merupakan wira dan wirawati negara sepanjang penularan wabak ini. Jadi, kami ingin mengucapkan terima kasih,” kata Ketua Pegawai Eksekutif airasia.com, Karen Chan.

Sementara itu, Ormond Group menawarkan penginapan satu malam percuma kepada petugas kesihatan yang sama di hotel terkemuka miliknya The Chow Kit-An Ormond Hotel.

Ormond Group juga akan memberi diskaun 30 peratus kepada semua petugas kesihatan, anggota polis dan tentera yang terlibat dalam usaha memerangi COVID-19 untuk menginap di mana-mana hotel miliknya.

“Kami terhutang budi dengan mereka, ini hanyalah perkara kecil yang kami lakukan sebagai tanda penghargaan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Ormond Group, Gareth Lim.

Tawaran itu adalah lanjutan sokongan Ormond Group terhadap petugas kesihatan di Tune Hotels PWTC, setelah menempatkan 200 kakitangan HKL ketika situasi COVID-19 melanda sepanjang 45 hari lepas.

Ia merangkumi sejumlah 4531 malam penginapan, ditaja oleh badan amal sekutunya, Yayasan ECM Libra.

Ormond Group adalah syarikat hospitaliti dengan visi mencipta pengalaman positif yang mempengaruhi cara hidup, bekerja dan menginap. – BERNAMA

Google ads
Back to top button