GENG PERAGUT MENYAMAR JADI RIDER HANTAR MAKANAN TUMPAS
Polis berjaya menumpaskan kumpulan peragut menyamar sebagai penghantar makanan yang bergerak aktif di sekitar kawasan Sentul, Kuala Lumpur.
Kumpulan dikenali sebagai Geng Ashmer itu melakukan aktiviti berkenaan sejak lima bulan lalu.
Bagaimanapun, kegiatan mereka tidak bertahan lama apabila empat ahli kumpulan terbabit ditahan dalam tiga serbuan berasingan di sekitar ibu kota pada 23 hingga 28 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, modus operandi kumpulan ini adalah dengan menyamar sebagai penghantar makanan.
“Suspek akan mengesan mangsa menggunakan dua motosikal, salah seorang daripadanya bertindak sebagai penjaga ‘line’ manakala seorang lagi sebagai ‘striker’.
“Barangan yang diragut seperti rantai emas akan dijual kepada seorang individu dan wang hasil jualan akan dibahagi sesama ahli kumpulan,” katanya pada sidang media.
Eng Lai berkata, hasil tangkapan semua suspek, polis berjaya merampas pelbagai barang dipercayai hasil ragut dan samun antaranya 36 rantai emas, beg penghantar makanan dan telefon pintar pelbagai jenama.
“Semua rampasan barang kemas dianggarkan bernilai RM50,000. Semakan rekod lampau mendapati tiga suspek mempunyai rekod kesalahan lampau manakala seorang lagi suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
“Dengan tertangkapnya semua suspek, polis percaya dapat menyelesaikan 20 kes kecurian dan 10 kes ragut di sekitar daerah ini,” katanya.
Menurutnya, semua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.
“Polis menasihati orang ramai supaya berhati-hati dan menjaga keselamatan diri.
“Orang ramai yang pernah menjadi mangsa atau mempunyai maklumat berkenaan kegiatan ragut boleh menghubungi bilik gerakan IPD Sentul,” katanya. – HM