
BICARA TEKNIKAL: VOLVO T8 TWIN ENGINE
Semasa belajar dulu, penulis pernah terfikir alangkah bagusnya jika satu enjin dapat menggabungkan teknologi supercaj dan turbocaj. Ideanya ialah untuk enjin mendapat momentum yang bagus pada RPM yang rendah dan menggunakan kebaikan turbo pada RPM yang tinggi. Secara teori pendekatan ini sebenarnya boleh dibuat, namun pelaksanaan dalam situasi sebenar mungkin agak sukar.
Sekitar tahun 2005 muncul pula Toyota mendominasi teknologi hibrid di pasaran dunia dengan pengenalan Toyota Prius yang serba canggih, menggabungkan kebaikan enjin pembakaran dalam dengan teknologi tenaga elektrik. Tenaga elektrik dijana apabila kereta membrek dengan menukar tenaga kinetik kepada elektrik berbanding dengan membazirkannya sebagai tenaga haba. Hebat kan.

Untuk artikel kali ini kita akan mengupas keupayaan kejuruteraan Volvo dalam menghasilkan sebuah enjin yang menggabungkan semua teknologi yang ada pada hari ini bagi menghasilkan enjin yang amat berkuasa namun menggunakan petrol sekitar 2 liter bagi setiap 100km. Ya saya menulis dengan betul dan anda baca dengan tepat angka tersebut. Jangan gosok mata anda lagi.
Enjin yang dimakasudkan ialah enjin 4 silinder 2000cc T8, namun sejarahnya bermula sebagai sebuah enjin 6 silinder dengan saiz 3000cc. Enjin ini memenangi anugerah 10 enjin terbaik Wards Auto pada tahun 2011. Pada tahun 2015 enjin T5 diperkenalkan dengan sesaran 2000cc dan dilengkapkan turbo. Volvo kemudian memperkenalkan enjin T6 yang menggunakan enjin yang sama namun ia dipasang dengan supercaj dan turbocaj pada tahun 2016.

Enjin ini merupakan enjin 4 silinder dengan saiz lejang 93.2mm dan diameter piston pula ialah 82mm. Disebabkan saiz lejang melebihi saiz diameter piston, enjin ini dikelaskan sebagai undersquare. Nisbah mampatan pula ditetapkan pada 10.3:1 cukup tinggi untuk sebuah enjin yang dipasang dengan sistem turbo. Urusan pembukaan dan penutupan injap dibuat melalui 16 injap dalam melalui aci sesondol berkembar dan sistem pemasaan jujukan pemasaan injap VVT berkembar. Jadi enjin ini berupaya mengoperasikan EGR tanpa masalah
Sistem penghantaran petrol pula diuruskan oleh sistem suntikan bahan api terus bagi menghasilkan kuasa 316 kuasa kuda pada 5700 RPM. Tork maksima ialah 400Nm pula berada dalam julat 2200-5400 RPM. Enjin ini dipasang pada Volvo S60, Volvo S90, Volvo XC60 dan Volvo XC90. Sistem penyejukan enjin pula akan diambil oleh pam elektrik yang akan menjaga aliran penyejuk secara bebas bergantung pada kehendak enjin.

Dalam senario pemanduan biasa atau memandu secara santai, udara akan disedut masuk, melalui bypass valve dan seterusnya melalui turbocaj dan akhirnya intercooler sebelum didesak masuk ke dalam silinder untuk dicampurkan dengan petrol. Namun jika anda memerlukan kuasa segera dari RPM yang rendah, sebaik sahaja pedal minyak ditekan, bypass valve akan ditutup dan udara akan dipaksa masuk melalui supercaj, seterusnya turbocaj dan akhirnya melalui intercooler sebelum masuk ke dalam silinder.
Dalam situasi ini, supercaj hanya akan berfungsi sebaik sahaja sistem klac akan menyambungkan supercaj dengan enjin bagi membolehkan ia berfungsi. Jika tiada keperluan, sistem klac akan memutuskan sambungan dan supercaj tidaka akan berfungsi. Aplikasi supercaj dalam enjin T8 ini akan memberikan bantuan segera pada turbo dimana pada RPM yang rendah, tekanan gas ekzos adalah rendah dan turbin berputar perlahan tidak dapat menjana tekanan yang cukup untuk menghasilkan kuasa yang segera.

Fenomena ini dipanggil turbo lag dan apabila supercaj beraksi ia mampu menghapuskan masalah ini sepenuhnya. Namun supercaj ini hanya akan berfungsi pada RPM maksima 3500 sahaja sebelum klac memutuskan sambungan. Pada 3500 RPM dan ke atas, tekanan yang dihasilkan sudah cukup untuk sistem turbo beroperasi dengan efisyen dan supercaj akan menghentikan operasinya kerana supercaj adalah bersifat parasitic load.
Sambungan klac pada sistem supercaj ini sangat pantas di mana ia boleh menyambung dan memutuskan klac dalam masa 0.08 saat sahaja. Jika anda fikir ini sudah menjadi sangat kompleks, Volvo telah menambah satu lagi komponen antara enjin dan sistem transmisi yang dikenali dengan nama crank integrated starter generator yang berfungsi sebagai penghidup dan generator bagi enjin ini menjadikan ia sistem hibrid. Bukan hibrid biasa, tapi hibrid yang boleh dicas dengan punca kuasa elektrik di rumah

Jadi untuk menjimatkan petrol, cas sahaja kereta Volvo S60 ini di rumah anda dan ia lebih jimat dari motosikal EX5 milik penulis. Motor elektrik ini menghasilkan 47 kuasa kuda tambahan dan 150Nm tork. Tidak berhenti di sini, Volvo turut memasang bateri pada bahagian tengah cesi kereta bagi menjadikan kereta ini memeiliki pusat graviti yang rendah dan stabil. Tapi Volvo kata ini semua tidak cukup lagi dan mereka menambah satu lagi unit motor pada roda belakang.
Motor ini memberi 87 kuasa kuda dan 240Nm tork tambahan pada enjin menjadikan kereta Volvo S60 ini sebuah kereta pacuan semua roda. Gabungan tenaga yang dihasilkan oleh enjin dan sistem hibrid menjana sekitar 400 kuasa kuda dan 640Nm tork. Untuk roda depan, kesemua kuasa akan disalurkan pada transmisi 8 kelajuan yang dibekalkan oleh Aisin. Volvo S60 hanya memerlukan 4.4 saat untuk memecut dari 0-100km/j walaupun berat kereta ialah 2041kg

Ya tuan-tuan, inilah enjin T8 Twin Engine 2000cc yang dihasilkan oleh Volvo dengan teknologi pemasaan injap berkembar (dual VVT), suntikan bahan api terus, turbocaj, supercaj, teknologi hibrid dengan keupyaan pengecasan di rumah, kuasa yang tinggi dan hanya menggunakan 2 liter petrol bagi setiap 100km. Nak lagi jimat? Cas saja biar penuh dan Volvo S60 ini boleh dipandu sejauh 46km dalam mode EV.