
PANDU UJI: VOLVO V60 RECHARGE, WAGON SUPER SEKSI.
Volvo V60 Recharge, bukan disebut wagon dalam istilah Volvo tapi lebih tepat disebut sebagai Estate datang dengan harga RM286,910 sahaja. V60 Recharge RM4,370 lebih mahal berbanding model Volvo S60 Sedan Recharge.
Dari segi rekaan platform, ia menawarkan 519 ruang kargo di bahagian belakang, lebih luas berbanding model S60 Recharge sedan.
Mungkin sebab faktor umur, atau nostalgia dengan kereta peronda polis yang lama atau sememangnya rekaan Estate ini cukup lawa, bagi penulis Volvo V60 adalah memang menawan dan bergaya. Tapi pada masa yang sama ia tak berlebih-lebihan. Bahagian bumbung belakang yang ditarik panjang dengan rekaan 2 kotak nampak kena dengan gayaan secara keseluruhan.
Rekaan lampu LED adaptif, ditemani dengan lampu LED DRL bercorak tukul Thor, rim bersaiz 19 inci dengan rekaan 5 jejari, dibalut dengan tayar Michelin Pilot Sport, jeriji depan menegak, sedikit krom di bampar depan, spoiler ringkas di belakang dan kemasan krom untuk paip ekzos menjadikan V60 nampak macho, mahal dan bergaya. Noktah.

Tak perlu berlebihan-lebihan sangat. Menjengah ke bahagian dalam dan anda akan kagum dengan perincian perkara-perkara berikut:
1. Tombol gear dihasilkan daripada kristal. Pada waktu malam tombol ini akan bercahaya dengan warna yang lembut tapi terang.
2. Kulit yang digunakan untuk kusyen terasa sangat mahal, bau kulit tersebut akan melekat pada baju anda macam pewangi mahal yang biasa anda beli. Sedap bau dia
3. Volvo V60 dipasang dengan 16 pembesar suara daripada jenama Harman Kardon yang berkuasa 600 watt. Kalau anda menyanyi lagu Dato Awie dalam kereta ini, ia ibarat berkaraoke bersama penyanyi asal

4. Corong penyaman udara untuk penumpang belakang dipasang pada tiang B, mudah untuk dihalakan pada penumpang terutama pada kerusi bayi. Cagak ISOFIX dipasang dengan penutup yang boleh dibuka dan ditutup dengan kemas.
5. Ruang kargo ialah 519 liter, tapi boleh dibesarkan kepada 1,441 liter bile kusyen belakang direbahkan pada tetapan 40:60. Rasanya lebih luas daripada kebanyakan SUV.
6. Papan pemuka menggunakan corak rekaan Driftwood, dibalut dengan Nappa Leather, dijahit dengan benang putih, diberi kemasan krom dan dilengkapkan dengan satu pembesar suara Harman Kardon

7. Memandu pada waktu malam akan terasa lebih mewah. V60 dipasang dengan lampu kabin depan, lampu kabin belakang, lampu di bawah pintu agar anda tidak terpijak lopak air, lampu di bahagian kaki depan belakang dan bahagian kargo diberi 3 lampu kabin. Salah satunya dipasang pada pintu kargo agar menerangi ruang kabin dari atas.
8. Jarak antara roda ialah 2,872mm, cukup luas dan besar. Malah tak keterlaluan kalau kami kata ia boleh jadi sebuah Limo yang mewah. Apatah lagi dengan cermin suria yang boleh dibuka hingga ke belakang menjadikan keseluruhan ruang nampak mewah, klasik dan luas.
Hadir dalam varian T8 sahaja, Volvo V60 dibekalkan dengan enjin 2,000cc 4 silinder yang menjana 316 kuasa kuda dan 400Nm tork hasil gabungan supercaj dan turbo. Semua kuasa enjin akan dihantar kepada tayar depan menerusi transmisi 8 kelajuan automatik.

Satu motor elektrik pula akan dipasang pada tayar belakang, membekalkan sekitar 87 kuasa kuda dan 240Nm tork. Motor elektrik ini mendapat kuasa daripada bateri 11.6 kWh yang dipasang di tengah-tengah cesi.
Bateri ini dicaj menerusi brek regeneratif atau boleh dicaj dengan plug 3 pin di rumah. Satu pengecasan penuh 6 jam membolehkan ia dipandu sejauh 49km dalam mode EV sepenuhnya.
Secara teknikalnya, V60 ialah sebuah AWD dengan tayar depan dikuasakan oleh enjin, tayar belakang dikuasakan dengan motor elektrik. Tetapi tanpa sambungan mekanikal.

Secara total, sistem trenkuasa PHEV T8 ini menjana 401 kuasa kuda dan 640Nm tork. Ia mampu memecut 0-100km/j dalam masa 4.6 saat. Sangat brutal tuan-tuan. Sewaktu mula-mula dihidupkan, enjin ini langsung tidak diaktifkan.
Semua sistem akan dihidupkan dan dikuasakan dengan bateri sepenuhnya. Jika anda memandu perlahan sekitar 20-30km/jam untuk keluar dari tempat parkir atau kawasan perumahan, ia akan bertindak sebagai sebuah EV sepenuhnya
Setiap kali kereta dihidupkan, V60 akan beroperasi dalam mode hibrid. Kecuali jika anda memilih untuk menggunakan mode PURE (EV) yang membolehkannya dipandu sejauh 49km dengan menggunakan elektrik sepenuhnya.
Peralihan punca kuasa dari motor elektrik kepada enjin memang sangat lancar. Tak terasa langsung. Semuanya diputuskan oleh sistem bila enjin patut hidup, bila enjin akan dimatikan, atau bila mode EV digunakan.

Apa yang menarik, penyaman udara kekal sejuk walaupun enjin dimatikan. Paparan meter tidak akan menunjukkan bacaan RPM, sebaliknya menunjukkan baki jumlah tenaga elektrik, baki petrol dan aliran tenaga.
Bahagian atas meter menunjukkan tenaga mana yang sedang digunakan oleh V60 sekarang, sama ada petrol atau elektrik. Sebagai contoh jika anda menekan pedal minyak melebihi jumlah tenaga elektrik, barulah enjin akan diaktifkan dan V60 akan menggunakan petrol dan elektrik.
Baki tenaga elektrik akan ditunjukkan pada bahagian bawah meter. Satu tangki penuh V60 membolehkan ia dipandu sejauh 720km, jika anda memandu berhemah dan berdisiplin. Ini kerana 640Nm tork sangat menggoda jiwa anda jika silap ditekan.
Memang buas kuasanya. Sekejap sahaja anda sudah capai halaju 180km/j. Dari segi ergonomik pun cemerlang, tiada masalah untuk pemanduan selama berjam-jam. Anda boleh ubah kusyen pemandu dengan pelbagai cara termasuklah memanjangkan sokongan peha dan mengubah sokongan pada bahagian pinggang (lower back).

Suspensi depan menggunakan rekaan double wishbone manakala bahagian belakang ia menggunakan multi-link direka dengan fokus pada keselesaan. Ia boleh menyerap segala permukaan jalan dengan baik, sehingga anda rasa bagaikan terapung di atas awan ketika dipandu di lebuhraya.
Pada halaju 110km/j, ia mencatatkan bacaan bunyi sekitar 52 dB sahaja tanpa gegaran mekanikal dari mana-mana. Bunyi daripada luar dihadang dengan baik terutama daripada kenderaan lain. Tiada langsung pergerakan mekanikal dari undercarriage terutama jika anda melalui jalan tak rata.
Jika dibandingkan dengan pesaingnya daripada Jerman, Volvo V60 memang jauh lebih selesa. Dengan syarat ia mestilah menggunakan tayar biasa bukan tayar run-flat. Namun ia terlalu fokus pada keselesaan sehinggakan penulis rasa ia tidak sesuai dipandu laju di selekoh.
Dalam aspek pemanduan pintar, Volvo V60 datang dengan ciri pemanduan adaptif yang amat pintar hampir menyamai cara pemanduan sebenar manusia. Jika ia mengesan kehadiran kereta di depan, ia akan meniru cara kita membrek dan bukannya mengejut seperti yang dibuat oleh jenama lain.

Jika kereta di depan sudah tiada, ia akan mula memecut dengan segera sama seperti cara kita tekan pedal minyak. Sistem ini sangat lancar dan sangat boleh diharap. Gabungan penggunaan petrol di lebuh raya dan jalan bandar, termasuklah menggunakan sistem pemanduan adaptif memberikan purata bacaan bahan api 14.5km per liter.
Kereta ini baru sahaja dipandu sejauh 1,000km, maka anda boleh jangkakan angka ini akan meningkat bila jarak perbatuan pemanduan bertambah. Tambahan pula berat V60 mencecah 2,041kg bukanlah sama seperti kereta kompak anda di rumah.
Dalam aspek keselamatan, Volvo V60 Recharge datang dengan senarai sistem keselamatan yang cukup panjang. Mungkin lebih panjang daripada perjanjian pembelian rumah anda. Antara sistem keselamatan utama termasuklah:
1. Sistem amaran titik buta yang diintegrasikan dengan pembetulan kawalan steering, bermakna jika anda tersalah masuk laluan pemandu lain, BLIS akan membetulkan stering kembali ke laluan asal anda

2. Avoid Collision – yang beroperasi tanpa mengira siang dan malam bagi memberi amaran pra-perlanggaran dan brek pra perlanggaran. Sistem ini boleh mengesan kenderaan lain, motosikal, basikal, pejalan kaki dan itik serati yang melintas jalan.
Amaran pra perlanggaran ini akan diberikan pada Head Up Display bermula dengan amaran jarak jauh, jarak dekat dan amaran brek. Ini bermakna ia memberikan anda beberapa amaran sebelum brek diaktifkan
3. Kamera 360 darjah – yang amat terang tidak kira siang dan malam. Sistem ini lengkap dengan Cross Traffic Alert yang bukan sahaja memberi amaran, tapi membrek secara automatik jika perlu.
4. Sistem perkongsian maklumat dan amaran – kami tidak tahu bagaimana ia berfungsi tapi sistem ini memberikan maklumat awal bahaya. Sebagai contoh ia memberikan amaran hujan beberapa kilometer sebelum kita sampai di kawasan hujan

5. Pilot Assist – jika diaktifkan akan membantu pemandu mengekalkan laluan di lorong dan membetulkan semula stereng ke laluan asal.
6. Sistem amaran papan tanda – semua maklumat papan tanda akan dikutip dan dipaparkan pada Head Up Display atau meter depan. Ini termasuklah halaju jalanraya semasa, amaran kawasan sekolah dan paling suka lokasi di mana perangkap halaju dipasang dan dikuatkuasakan.
7. Lampu LED pintar dengan sistem adaptif, lengkap dengan Ligh Bending Technology. Arah pancaran lampu LED akan bergerak mengikut pergerakan stereng. Lampu tinggi automatik berupaya menghasilkan bayang-bayang untuk kerata depan supaya tidak silau. Bijak kan?
Cuma ada 2 komen penulis berkenaan pengalaman pemanduan Volvo V60 ini. Yang pertama ialah disebabkan ia merupakan PHEV maka brek agak sukar diagak, terasa sedikit meluncur sebelum ia brek sepenuhnya. Ini adalah masalah universal kereta hybrid di dunia, melainkan anda memandu Honda CR-Z.

V60 menggunakan cesi Scallable Product Arcitecture, dengan bateri disusun di bahagian tengah. Jadi sedikit sebanyak ia akan memakan ruang di bahagian kaki dengan kewujudan bonggol (hump) bahagian belakang dan depan. Ruang simpanan depan akan menjadi kecil.
Itu sahaja komen kami, sikit sangat kelemahan Volvo V60 Recharge ini. Bagi penulis ia merupakan sebuah sport wagon yang sangat berkuasa, bergaya, menjimatkan bahan api, boleh jadi sebuah EV, luas dan praktikal. Memang patut ia menjadi idaman lelaki-lelaki macho yang ada keluarga untuk dibawa bersama.









