Buletin

BIDAAN NOMBOR PLAT KL “VDN” DIBUKA DALAM TALIAN MULAI 21 JUN

Kaedah bidaan dalam talian bagi nombor pendaftaran Kuala Lumpur “VDN” akan dibuka mulai 21 Jun nanti, menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Keputusan tersebut dibuat berikutan kejayaan e-bidding yang diuji menerusi nombor pendaftaran Putarajaya “FC” pada bulan April lalu dan Kementerian Pengangkutan memutuskan untuk meneruskan kaedah tersebut.

“Pembidaan untuk siri nombor VDN akan dibuka selama lima hari mulai 21 Jun, dari tengah malam hingga 11.59 malam pada 25 Jun. Pemenang akan diumumkan pada tengah hari 26 Jun.

“Pendaftaran boleh dilakukan di portal https://jpjebid.jpj.gov.my atau melalui aplikasi mudah alih JPJeBid,” kata Loke pada sidang akhbar semalam.

Bagi “nombor emas”, tawaran minimum ialah RM20,000, dengan bidaan kenaikan seterusnya ditetapkan pada RM1,000.

Siri nombor Putrajaya “FC” adalah yang pertama menggunakan sistem e-pembida dalam talian.

Sistem ini dilancarkan sempena sambutan Hari JPJ ke-73 pada 15 April dan kementeriannya telah mengumpulkan RM3,113,364 daripada 2,481 bidaan.

Tawaran pemenang tertinggi adalah untuk nombor “FC1” yang mencatatkan harga bidaan RM231,000.

Google ads
Back to top button