Motosikal

PENTING SANGAT KE UNTUK JUARA MOTOGP MEMBUKTIKAN KEHEBATAN DENGAN MOTOSIKAL BERBEZA?

Terdapat satu teori yang hangat diperkatakan di kalangan penunnggang MotoGP dan peminat yang menyatakan juara dunia seperti Marc Marquez mesti membuktikan kehebatannya dengan menunggang motosikal dari jenama lain. Ia satu teori yang agak karut an akan cuba kami jelaskan.

Kontrak Marc Marquez bersama HRC akan tamat pada 31 Disember 2020 dan macam biasa ramai penulis-penulis sukan motor sedang meramalkan pasukan mana yang akan dipilih oleh Marquez untuk musim 2021. Adakah beliau akan kekal bersama Honda ataupun beralih angin ke jenama lain seperti Demak? Tapi memang ia sekadar ramalan kosong semata-mata kerana itu sebenarnya bergantung kepada Marquez sendiri.

Balik kepada teori tadi, dari dulu lagi memang ramai yang berpendapat para juara ini mesti bertukar kepada jenama motosikal lain untuk membuktikan keupayaan mereka sekali gus memahat nama mereka sebagai pelumba lagenda.

Bagi kami ia memang satu teori karut kerana ia bukan berkaitan dengan jenama motosikal tetapi lebih kepada cara pelumba menunggang dan menguasai motosikal. Kalau bagus memang baiklah hasilnya, tapi kalau menunggang macam tak guna otak memang ke lautlah hasilnya.

Malah ramai juara lagenda yang sentiasa dikenang pun kekal setia dengan satu jenama sahaja. Contohnya Mick Doohan, Kenny Roberts, Wayne Rainey dan Kevin Schwantz. Adakah bakat dan pencapaian mereka berkurangan kerana tidak bertukar jenama? Mana ada.

Memang benar jika anda berjaya memenangi perlumbaan dengan motosikal berbeza merupakan satu pencapaian tetapi ia tidak akan menjadikan anda pelumba yang lebih baik. Ia menunjukkan kebolehan pelumba mengadaptasi kelebihan dan kekurangan motosikal jenama berbeza. Malah kebolehan ini memang dimiliki oleh seripa pelumba kerana mereka akan menyesuaikan diri dengan pantas sewaktu berlumba dalam kelas yang berbeza.

Sebenarnya untuk menukar pilihan jenama tayar adalah lebih sukar tetapi adakah ia penting? Kalau pun ia penting siapa peduli tayar jenama apa yang digunakan oleh Marc Marquez untuk menjadi juara dunia. Pemilik Y suku yang menjadi peminat fanatik Rossi pun kami tengok ramai yang dah pakai tayar sotong. Entah jurutera mana yang jadi penasihat mereka.

Teori menukar jenama untuk membuktikan kejaguhan sebenar ini sebenarnya masih baru dan mula hangat diperkatakan bila Valentino Rossi membuat keputusan untuk bertukar dari Honda ke Yamaha pada musim sejuk 2..3/2004. Tapi benar kah Rossi berpindah untuk membuktikan kehebatan beliau dengan jenama berbeza?

Tak berapa benar sebenarnya kerana Rossi berpindah disebabkan tidak lagi sehaluan dengan pihak pengurusan Honda. Selain daripada itu Rossi juga tertarik dengan cabaran setengah pihak yang mengatakan kemungkinan untuk menjadi juara dengan menggunakan jentera Yamaha YZR-M1 adalah sifar. Beliau memang mahu membuktikan yang pelumba adalah lebih penting berbanding motosikal.

Begitu juga dengan seorang lagi pelumba terkenal, Casey Stoner. Pada penghujung 2010, Stoner membuat keputusan untuk keluar dari Ducati dan menerima tawran Honda juga kerana masalah pengurusan. Bila Stoner terlepas beberapa perlumbaan akibat jatuh, beliau memang cukup berang dengan sikap tidak mengambil berat pasukan. Malah ia mencapai kemuncak bila Ducati dikatakan membuat tawaran kepada Jorge Lorenzo dengan bayaran dua kali ganda yang diterima beliau.

Pada masa yang sama juga Rossi meninggalkan Yamaha dan berpindah ke Ducati kerana pihak pengurusan Yamaha berpendapat Lorenzo adalah masa depan mereka. Rossi bagaimanapun tidak pernah menang dengan jentera Desmosedici dan perlu mengakui yang motosikal juga merupakan salah satu faktor penting dalam memburu kemenangan.

Manakala pada 2017, Lorenzo turut meninggalkan Yamaha kerana gagal menembusi bayang-bayang Rossi dalam pasukan Yamaha dan berpindah ke Ducati. Tahun lepas pula sekali lagi beliau berpindah dan kali ini ke Honda kerana khidmat beliau tidak lagi diperlukan pihak pengurusan Ducati.

Jadi tuan-tuan, kesimpulan yang dapat kita ambil ialah para pelumba terkenal ini berpindah bukannya sebab dan memahat nama sebagai lagenda dengan bertukar jenama tetapi adalah masalah pengurusan, duit dan motosikal itu sendiri. Terdapat juga faktor-faktor lain yang lebih kecil tetapi bukannya demi teori di atas.       

Google ads
Back to top button