Buletin

GANTI CIP QUALCOMM DENGAN CIP LAPUK INTEL, ORA BERDEPAN TINDAKAN UNDANG-UNDANG

Pengeluar kenderaan dari China, Ora bakal berdepan dengan tindakan undang-undang daripada para pemilik model Ora Good Cat disebabkan pemasangan cip yang sudah lapuk.

Ini kerana menurut laporan daripada The Straight Times, Ora dikatakan memasang cip pemprosesan Intel yang dilancarkan pada tahun 2016, dan bukannya cip pemprosesan lapan teras Qualcomm seperti yang diiklankan.

Para pemilik meluahkan perasaan tidak puas hati di laman WeChat dan sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap pengeluar tersebut.

Menurut mereka, walaupun Ora telah menawarkan pampasan berbentuk subsidi pengecasan, serta kemaskini perisian secara percuma, namun ia dilihat tidak mencukupi bagi sesetengah pihak yang mahukan kereta mereka dipasang dengan cip terkini.

Salah seorang daripada pemilik Ora Good Cat mendakwa, disebabkan penggunaan cip pemproses yang sudah ketinggalan zaman, sistem infotainmen tidak berfungsi dengan cemerlang, bantuan suara bermasalah, malah ia juga tidak mampu untuk mengemaskini aplikasi navigasi Gaode (sama macam Google Maps).

Menurut Pengarah Eksekutif firma guaman Queen & Low Firm di Beijing, Lin Lihong menjelaskan, “pada pendapat saya, ia merupakan satu kes tipikal penipuan pengguna.”

“Merujuk kepada fail konfigurasi kenderaan, jelas sekali Ora Good Cat akan dilengkapi dengan cip pemprosesan lapan teras Qualcomm, namun setelah penghantaran dibuat, para pemilik mendapati spesifikasi kenderaan mereka tidak seperti yang diiklankan.

“Pengiklanan menggunakan jenis cip yang disebutkan itu merupakan kunci penting dalam menentukan pilihan pembelian pengguna.

Dalam pada itu, Ora menjelaskan proses penggantian cip Intel kepada Qualcomm ‘sukar untuk dibuat’ dan mengakui mereka tidak dapat menjamin model Ora Good Cat akan datang bakal mendapat cip Qualcomm disebabkan kekangan produksi.

Sumber: CarScoops

Google ads
Back to top button