KAWASAKI NINJA ZX-25R PREBIU DI MOTOGP MALAYSIA. LANCAR TAHUN DEPAN, CKD GUNA JENAMA MODENAS, HARGA KOMPETITIF!
Kawasaki Malaysia akhirnya memperkenalkan secara rasmi model yang paling ditunggu-tunggu, apa lagi Kawasaki Ninja ZX-25R ke pasaran tempatan.
Ia bakal dilancarkan secara rasmi pada tahun depan dengan kemungkinan hadir dalam bentuk pemasangan tempatan (CKD). Bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna, Kawasaki Malaysia dijangka menawarkan Ninja ZX-25R dalam beberapa varian.
Mula diperkenalkan kepada umum pada acara Tokyo Motor Show 2019, jentera berkenaan terus mendapat perhatian dalam kalangan peminat motosikal di seluruh dunia.
Sebelum ini, jentera berkenaan telah pun dilancarkan pada Jun tahun lalu di Indonesia. Pelancaran di Malaysia agak lewat berikutan masalah COVID-19 selain penukaran entiti yang menjaga jenama Kawasaki di sini.
Jika dilihat pada pasaran lain, Ninja ZX-25R ditawarkan dalam empat pilihan warna iaitu Lime Green/Ebony/Pearl Blizzard White (ABS), Passion Red/Pearl Blizzard White (ABS), Metallic Matte Graphenesteel Grey/Metallic Spark Black (ABS) dan Metallic Spark Black (Standard).
Sudah pasti, warna signatur hijau yang boleh anda lihat ini merupakan tona paling menyerlah.
Kawasaki menawarkan model supersport ini dalam dua varian iaitu Standard dan ABS Spedial Edition (SE).
Penampilan garang Kawasaki ZX-25R ini diterjemahkan lagi melalui rekaan grafik menghiasi jentera ini, lampu utama berkembar jenis LED, tangki bahan api lebih muscular dan tempat duduk jenis step-up.
Kerangka frem trellis baharu jenis keluli tekanan tinggi dan sistem ekzos kompak memastikan tunggangan lebih padu serta tangkas.
Ninja ZX-25R dikuasakan oleh enjin 250cc yang mampu menjana 49hp dengan ram udara dan 48hp tanpa ram udara pada 15,500rpm. Manakala tork maksimum pula ialah 22.9Nm pada 14,500rpm.
Dari segi keselamatan, jentera itu menggunakan brek cakera bersaiz 310mm dan angkup empat omboh di hadapan. Manakala roda belakang menerima brek cakera 220mm dengan angkup omboh tunggal.
Bukan itu sahaja, Ninja ZX-25R dilengkapi sistem bantuan elektronik yang canggih seperti Kawalan Traksi Kawasaki (KTRC), mod power membenarkan penunggang memilih kuasa tunggangan Full ataupun Low dan Kawasaki Quick Shifter (KQS).
Harga Ninja ZX-25R untuk pasaran Malaysia masih belum diumumkan. Namun, sebagai perbandingan, jentera berkenaan ditawarkan pada harga bermula Rp96 juta (RM28,360) dan varian Ninja ZX-25R ABS-SE berharga Rp112.9 juta (RM33,270) di Indonesia.
- BACA: CONFIRM! KAWASAKI NINJA ZX-25R MASUK MALAYSIA TAHUN DEPAN!
- BACA: TMS 2019: KAWASAKI NINJA ZX-25R. SUPER SPORTS 250CC PALING BERKUASA DALAM KELASNYA
- BACA: KMSB TIDAK LAGI EDAR MOTOSIKAL KAWASAKI BERMULA 1 OKT 2021. TUKAR NAMA KEPADA KMSB MOTORS SDN BHD
- BACA: KAWASAKI NINJA 250 2021 DIPERKENALKAN DI PASARAN JEPUN. DUA WARNA BAHARU JADI PILIHAN