
BMW 330i M SPORT 2019 – RM328,800
BMW Malaysia hari ini melancarkan generasi ketujuh BMW 3 Series serba baharu ke pasaran tempatan.
Dengan jualan mencecah 15 juta unit di seluruh dunia, BMW 3 Series sememangnya nadi buat jenamaBMW. Ia bertanggungjawab mencipta segmen sedan sport premium selama lebih 45 tahun.

BMW 3 Series dijana oleh enjin petrol empat silinder sebaris Turbo TwinPower 2.0 liter paling berkuasa dalam kelasnya.
Berupaya menghasilkan kuasa 258hp dan tork 400Nm, ia kemudian dipadankan dengan Steptronic Sport 8 kelajuan baharu.
Rangkaian kuasa itu membolehkannya mencatat kelajuan sehingga 250km/j dan pecutan dari 0-100km/j dalam masa cuma 5.8 saat. Biarpun begitu, ia hanya menggunakan bahan api 6.4 liter bagi setiap 100km.

Dari segi dimensi, sedan kompak ini 76mm (4,709mm) lebih panjang, 16mm (1,827mm) lebih lebar dan 6mm (1,435mm) lebih tinggi berbanding model terdahulu. Jarak roda juga lebih luas dengan penambahan 41mm (2,851mm).
Biarpun begitu, jentera itu adalah 25 kilogram lebih ringan berbanding model yang digantinya.
Seperti sudah menjadi trend BMW, gril kidney klasik kini lebih besar dan lebar. Ia mengunjur ke lampu hadapan LED dengan teknologi Bi-LED.

Lampu belakang tiga dimensi yang nipis pula dipasang dalam bentuk L diserlahkan menerusi penggunaan kaca berkabus agar kelihatan lebih mewah.
Dengan pekali seretan (drag coefficient) hanya 0.23, kereta ini menawarkan aspek aerodinamik yang terbaik dalam kelasnya.
Tahap ketegaran struktur badan dan sistem suspensi juga telah ditambah baik, dengan agihan berat 50:50 serta pusat graviti yang rendah.

Pakej M Sport terdiri daripada roda aloi jejari berkembar Style 790 M Light bersaiz 18 inci dan angkup brek M Sport berwarna biru.
Tidak ketinggalan, Suspensi ‘M Sport’ yang menjanjikan kualiti pengendalian cukup mantap.
Sarat dengan ciri futuristik, jentera itu tampil bersama BMW Connected Package Professional yang terdiri daripada BMW Intelligent Personal Assistant dan BMW Digital Key.

Kunci digital itu membolehkan pemilik membuka kenderaan dan menghidupkan enjin dengan menggunakan telefon pintar menerusi teknologi Near Field Communications (NFC).
Sementara BMW Live Cockpit Professional menggabungkan paparan boleh diubah berdasarkan kepada situasi menerusi kluster instrumen digital bersaiz 12.3 inci dengan Paparan Kawalan bersaiz 10.25 inci.
Operasi yang intuitif boleh dipilih menggunakan skrin sentuh pada paparan kawalan, iDrive Controller, butang stereng dan arahan suara.

BMW 3 Series ditawarkan dalam lima warna iaitu biru, hitam, putih, kelabu dan oren yang dipadankan dengan warna dalaman hitam atau upholsteri ‘Cognac Leather Vernasca’ dan kemasan Aluminium Tetragon.
Ia boleh didapati daripada semua pengedar sah BMW di seluruh negara bermula 28 Mac 2019.
- BACA: UJIAN PRESTASI HATCHBACK TERBAIK DUNIA. MERCEDES A35, AUDI S3, BMW DAN FOCUS RS
- BACA: TOYOTA SUPRA A90 DAN BMW Z4. SAMA TAPI TAK SERUPA…
- BACA: #IKLANPILIHAN: BMW E30 COUPE, DULU IA SEBUAH KERETA PLAYBOY!
GALERI