
PANDU UJI: MAZDA CX-5 2.5L YANG MERIANGKAN!
Memang tidak dapat dinafikan bahawa teknologi kereta elektrik semakin mendapat tempat dalam pasaran kereta di dunia dan ia dipopularkan dengan Tesla dan juga Nissan.
Ada yang mengatakan kereta elektrik yang mampu memecut pantas selaju 100km/h itu cukup mengujakan dan mereka pastinya sangat berminat sekiranya enjin kereta mereka berbunyi seperti penyedut hampagas. Kosong dan hambar.
Bunyi enjin yang dihasilkan dari proses ambilan angin, pembakaran petrol dan udara dan diakhiri dengan bunyi ekzos itu ialah bunyi enjin sebenar. Ia ada identitI sendiri yang tidak akan sama antara satu sama lain. Seperti bunyi Lexus LC500, ia lebih merdu berbanding nyanyian Sejat dengan suara sumbang tertelan hormon progesterone.
Secara konvensional, enjin pembakaran dalamAN hanya menggunakan 30% tenaga kimia kepada tenaga kinetik. Masih ada 70% ruang penambahbaikan yang boleh dilakukan untuk menjadikan enjin pembakaran dalam lebih baik.
Masih ada ruang untuk menjadikan kereta sebuah produk yang seronok dipandu, dan ditambah baik dari semasa ke semasa. Menyedari hakikat ini, Mazda tampil dengan satu teknologi baru SkyActiv yang merangkumi enjin, kotak gear, dan juga cesi.
Peluang yang ada selama 4 hari memandu Mazda CX 5 dengan enjin 2500cc adalah satu peluang yang besar bagi saya menyelami secara mendalam barisan produk terbaru Mazda.

Rekabentuk
CX5 mempunyai bentuk yang diilhamkan oleh konsep KODO iaitu Soul in Motion dan diketuai oleh Chief Designer Shinichi Isayama. Beliau menegaskan CX5 harus melambangkan kualiti seni pembuatan oleh tukang besi seperti pembuatan pedang katana oleh tukang besi.
“Setiap hasil seni yang dibuat dengan tangan oleh tukang besi mestilah mempunyai Jiwa”. Itulah Falsafah Mr. Isayama.
Dia turut dibantu oleh Takanori Tsubaki yang bertindak mengetuai rekaan luaran CX5 dengan mengangkat falsafah Kodo ke aras yang lebih tinggi bagi sebuah SUV dengan wawasan “Refined Toughness”

Rekabentuk ini membezakan CX5 dengan pesaingnya dengan satu konsep yang berani bebanding dengan sebelumnya. Bahagian depan iaitu enjin kelihatan agak rendah bagaikan sebuah sedan, bahagian bumbung pula dibuat sedikit tinggi dengan tiang A sedikit tegak dan bahagian belakang persis sebuah kereta hatchback yang ditinggikan.
Jika dilihat dari sisi, CX-5 tidaklah Nampak seperti sebuah SUV dengan rekabentuk yang berkotak seperti kelaziman malah mungkin sesetengah orang akan berpendapat ia adalah sebuah hatchback.
Bahagian depan CX-5 tampil berani dengan bukaan udara yang dibuat dengan besar berwarna hitam dengan bentuk pyramid 3 segi dan logo Mazda terapung di tengah tengah. Terdapat satu hiasan krom yang merentangi bampar depan dari lampu kanan ke lampu kiri.
Saya kurang menggemari rekabentuk bahagian hadapan dan lebih menggemari rekabentuk bahagian belakang yang lebih lembut berbanding dengan rekabentuk depan yang bersifat “wedges” dan bersegi.
Bahagian belakang pula dihias dengan ringkas lengkap dengan paip ekzos berkembar bagi menyerlah kejantanan yang ada pada CX-5. Lampu bahagian belakang pula kelihatan seperti lampu Mazda Miata MX-5.
Namun bila gambar CX5 dipapar di Facebook, ramai yang memuji bahagian depan berbanding belakang. Secara ringkasnya CX-5 ini sebuah SUV yang comel, ringkas namun masih lagi kelihatan segak tanpa kelihatan keterlaluan

Dimensi CX5
Panjang keseluruhan CX5 ialah 4550mm, dengan lebar 1840mm dan juga tinggi 1675mm menjadikan CX5 ialah sebuah SUV dalam Kategori segmen C dan bersaing terus dengan jenama tempatan seperti Proton X70, pesaing dari jepun seperti CRV, Tucson dari Korea dan juga Peugot 3008 dari Perancis.
Jarak antara roda ialah 2700mm seperti Honda Civic FC. Berat keseluruhan CX5 1588kg menjadikan ia lebih dinamik berbanding dengan X70. Bagi model ini, ia menggunakan rim bersaiz 19 inci dengan tayar 255/55 dari jenama Toyo Proxes.
Ruang Dalaman

Paling mengejutkan penulis ialah ruang dalaman CX5 mendapat inspirasi daripada bilik minum teh Jepun. Isayama menegaskan “Mazda mahukan ruang dalaman yang menenangkan penumpang dan memberi peluang kepada pemandu untuk fokus pada pemanduan”.
Tema hiasan aluminium brush, kulit dan krom merupakan tema utama dalam rekaan CX-5 menghasilkan ruang dalaman praktikal dan luas persis sebuah kereta Kontinental.
Paparan pemuka CX5 didominasi dengan paparan LCD 7 inci dan ia bukan sekadar paparan murahan kerana ia adalah sebahagian daripada sistem Mazda MZD. Pemandu boleh mengakses fungsi muzik, radio, mengawal pelbagai fungsi keselamatan, dan juga sambungan ke telefon pintar.
Selain boleh menggunakan fungsi sesentuh pada skrin, sistem ini juga boleh dikawal dengan menggunakan yang terletak pada di belakang konsol tombol kotak gear.
Berbanding dengan pesaing lain dari Jepun, paparan pemuka Mazda kelihatan lebih kemas dan tidak berterabur kerana kebanyakan fungsi telah diambil alih oleh sistem MZD ini.
Hanya suis untuk mengawal penyaman udara saja dan corong penyaman udara sahaja yang diletakkan pada papan pemuka. Ditambah pula dengan penggunaan kulit membaluti papan pemuka, ruang yang dihasilkan kelihatan sangat eksklusif dan sedap dipandang apatah lagi dipegang kerana bahan yang digunakan untuk membalut papan pemuka adalah lembut. Benang yang digunakan adalah benang sebenar bukannya benang palsu ye.

Paparan meter pula masih menggunakan jarum analog walaupun untuk pasaran luar Malaysia Mazda membekalkan meter dengan jarum digital untuk CX-5.
Saya tiada masalah dengan pilihan tersebut kerana ia lebih kelihatan hidup dan bersifat mekanikal dengan jarum sebenar. Sekali lagi CX-5 tampil dengan kelainan berbanding dengan pesaing.
CX-5 lebih ke arah citarasa continental dengan warna meter gelap dan nombor pula berwarna putih tidak seperti kelaziman kereta Jepun yang suka mewarnakan meter berwarna warni seperti Baby Boss mendapat pensil warna Luna.
Paparan meter info yang berada di sebelah kiri memaparkan suhu, penggunaan petrol semasa, baki petrol, jarak perjalanan bagi baki petrol yang ada, dan juga suhu enjin.

Kerusi yang dibuat untuk CX5 terasa selesa, menyokong bahagian pinggang bawah dan bahagian bahu dibuat sedikit rata. Jadi tulang belikat anda tidak rasa terkepit selepas memandu selama beberapa jam memandu.
Malah kerusi belakang sangat selesa dan luas berbanding sebuah sedan, namun ia sedikit menegak sama seperti X70. Kemasan panel pintu, panel instrument dan juga panel tengah yang menempatkan tombol gear menggunakan kemasan kulit, diserikan dengan kemasan krom, elemen “aluminium brushed” dan juga plastik berkilau untuk kemasan tombol gear.
ENJIN & TRANSMISI
Mazda menegaskan penggunaan teknologi SkyActiv bagi unit transmisi dan juga enjin. Unit CX-5 generasi KF ini didatangkan dengan 3 pilihan enjin samaada 2000cc atau 2500cc petrol SkyActiv G ataupun 2200cc turbodiesel SkyActiv D.
Unit pandu uji kali ini datang dengan enjin 2500cc SkyActiv G dan dipadankan dengan kotak gear 6 kelajuan SkyActiv Drive. Seperti yang telah diulas dalam artikel sebelum ini teknologi SkyActiv G dan juga SkyActiv Transmission D merupakan teknologi yang dibangunkan oleh Mazda sangat mengagumkan.
Enjin SkyActiv 2500cc ini menggunakan nisbah mampatan sehingga 14:1 bagi mengekstrak lebih banyak kuasa dari seliter petrol.

Hasilnya enjin ini mampu menjana 192hp pada 6000RPM dan juga 257Nm pada 3250RPM namun pada masa yang sama mampu bergerak sejauh 14km bagi setiap liter petrol.
Kotak gear 6 kelajuan pula sangat responsif dengan input dari pemandu, menukar gear dengan lembut pada halaju rendah dan juga tinggi dan dengan bantuan sistem klac, pecutan yang dibuat sangat meyakinkan.
Gabungan enjin dan juga kotak gear ini sangat suka bila untuk bekerja pada RPM yang tinggi, memberikan pecutan pantas dan lancar tetapi tanpa sebarang sentapan pada tubuh pemandu.
Bagi varian petrol, kesemua kuasa enjin dihantar pada pada roda depan. Manakala bagi varian diesel terdapat 2 pilihan pacuan, samaada pacuan depan ataupun pacuan semua roda.
Prestasi di atas Jalan
Sebaik sahaja memulakan perjalanan dengan Mazda CX5, perkara pertama yang boleh dirasakan ialah kesenyapan kabin dan gegaran yang dihasilkan oleh pergerakan komponen kereta gagal untuk menceroboh masuk ke ruang pemandu.
Ia menghasilkan satu suasana yang aman kepada pemandu dan mungkin anda boleh mendengar semut bernafas jika enjin masih belum dihidupkan.
Roda steering menggunakan material kulit yang sangat sedap untuk digenggam. Walaupun menggunakan rim 19 inci, namun CX5 tidaklah tinggi seperti X70.
Jadi pergerakan keluar masuk ke kabin adalah mudah tanpa memerlukan pemandu memanjat masuk. Pedal minyak mempunyai sudut yang selesa, tanpa menyebabkan buku lali rasa tertekan, seperti penulis tertekan dengan kempen cintai minyak sawit di kaca TV.

Walaupun CX5 kelihatan agak besar, namun untuk memandu CX5 atau memarkir di tempat yang sempit bukanlah satu masalah besar. CX5 ada sensor depan dan belakang yang akan membantu anda malah terdapat sistem kamera dengan “bird eye view” yang akan memudahkan kerja pemandu.
Sistem sambungan MZD pula mudah digunakan tanpa perlu membaca buku manual dan kedudukan butang adalah sangat ergonomik. Butang yang besar boleh diperasi dengan cara memulas ikut atau lawan arah jam, tekan dan juga beroperasi seperti “joy stick” untuk bermain permainan komputer. Ia membantu anda mengakses:
- Sistem audio dan lagu simpanan USB
- Sistem navigasi
- Sistem tetapan keselamatan kereta
- Sambungan ke telefon pintar
Sebaik sahaja duduk, perkara pertama yang dirasai ialah keselesaan tempat duduk yang sangat ergonomik dan mengikut postur badan natural. Kerusi pemandu boleh dilaraskan dengan bantuan kuasa melalui 10 cara termasuk sokongan lumbar belakang.
Sistem MZD yang digunakan telah memuatkan semua fungsi sokongan dan boleh diakses dengan menggunakan butang. Operasinya sangat lancar dengan menggunakan tangan kiri tanpa membuatkan pemandu hilang fokus pada jalanraya.
Walaupun tidak menggunakan pembesar suara Bose, bunyi yang dihasilkan cukup jelas dengan nada bunyi “bass” dan “treble” yang seimbang.

Untuk perjalanan di kawasan bandar ataupun menempuh kesesakan jalan raya, kotak gear dan enjin SkyActiv ini bekerjasama dengan sempurna menghasilkan pergerakan lancar tanpa ada sebarang sentapan.
Bacaan RPM meter hanyalah sekitar 1100-1200 RPM untuk halaju 60km/h bagi laluan bandar seolah-olah enjin seperti malas untuk bekerja keras. Hanya sedikit sahaja sentuhan pada pedal minyak dan RPM dengan pantas melompat ke 2000RPM dan kereta akan meluncur laju dan gear beroperasi lancar seperti gear CVT. Jika pemandu menekan dengan lebih, RPM akan melompat terus ke 3300RPM ataupun terus ke 5000RPM.
“I treat you the way you treat me” agaknya itulah mesej yang cuba disampaikan CX5 pada pemandu.
Pedal minyak memang sangat sensitif dengan input pemandu dan CX-5 secara pantas akan memecut ke depan meninggalkan kereta lain dengan bersahaja, tenang dan aman. Tahu tahu anda sudah memotong meninggalkan kereta sebelah.
Walaupun pergerakan CX-5 sangat agresif dari luar, namun suasana di dalam kabin jauh berbeza. Malah pemandu boleh memecut tanpa ada sebarang daya yang menekan badan pemandu pada kerusi, melainkan anda betul betul ingin mencuba mode pemanduan Sport yang turut disediakan.

Selain sedap dipegang, tindakbalas steering adalah natural dan bergantung pada cara pemanduan. Ia ringan pada kelajuan rendah dan memberat pada kelajuan tinggi namun tidaklah mengganggu ketika mengambil selekoh.
CX-5 menggunakan topang McPherson pada bahagian depan dan Suspensi Pelbagai Sambungan (MultiLink) pada bahagian belakang menghasilkan dinamik pemanduan yang mengujakan. Lemparkan saja CX5 pada selekoh dan ia akan beraksi dengan cemerlang di situ tanpa drama.
Pada tangan pemandu yang berpengalaman, ia boleh beraksi seperti sebuah hatchback yang dilengkapkan dengan sistem suspensi yang lebih panjang. Sistem Steering bekerjasama dengan baik dengan sistem penyerap hentak menghasilkan keyakinan tinggi ketika bergerak laju di lebuh raya.
Walaupun sedap meratah selekoh, tidak bermakna sistem suspensi CX-5 ini keras. Ia lembut dan menyerap segala permukaan jalan yang berlubang dengan sempurna namun pada hemat pemulis X70 lebih lembut dan selesa.
Digandingkan dengan enjin SkyActiv dan kotak gear SkyActiv yang responsif, Stereng yang memberi tindakbalas cepat dan cesi yang ringan, ia menghasilkan dinamik pemanduan yang cukup mengujakan pemandu.
Kaki terasa ringan saja untuk menekan terus pedal minyak bagi menghasilkan lonjakan adrenalin pada pemandu jika ada provokasi dari kereta lain. Malah untuk tujuan menyombong pada sebuah kereta sedan segmen C dan juga sebuah pacuan 4 X 4, saya secara bersahaja memintas kereta tersebut pada kelajuan 110km/h ketika selekoh S tanpa ada rasa gerun.
Namun ketika mode pemanduan sport, tindakbalas gear ketika memaksa gear turun dari gear 4 ke 3 terasa sedikit lambat. Mungkin sistem ingin melindungi gear dari “over rev” semasa melakukan “engine braking”

Bagi menyempurnakan sifat Jinba Ittai yang didokong oleh Mazda, CX5 dilengkapi dengan satu ciri kawalan dinamik chassis yang dinamakan G Vectoring Control atau singkatannya GVC.
Untuk memudahkan pemahaman pembaca, kereta mempunyai 3 paksi pada pusat graviti dan setiap paksi akan mempunyai pergerakan masing masing.
Pada paksi vertical atau menegak, pergerakan selekoh dinamakan “yaw rate” dan ia dikawal oleh sistem Dynamic Stability Control (ESC terminologi bagi Mazda). Manakala bagi mengawal gerakan olengan cesi (body roll) dan juga pitch roll (olengan depan ke belakang dan sebaliknya) ia akan dikawal oleh sistem GVC.
Cara Mazda mengoperasikan GVC sangat mudah, gunakan enjin sebagai input vektor bagi mengurangkan gerakan pitch dan roll bagi menghasil kualiti pemanduan yang selesa, tidak membuai buai dan juga stabil.
Bagi mengetahui keberkesanan GVC, saya telah menguji CX-5 di jalan kampung sejauh 100km selama satu jam. Namun apa yang menakjubkan, langsung tidak berasa letih ataupun lesu. Cuba lalu jalan yang sama dengan kereta biasa bertayar kangkang, nescaya saya perlukan sesudu minyak sawit untuk kekal cergas.

Untuk keselesaan penumpang, terdapat beberapa ciri yang telah disediakan oleh Mazda seperti corong penyaman udara bahagian belakang, akses kuasa untuk mengecas telefon pada perehat tangan belakang dan juga depan, kerusi belakang dengan konsep 40:20:40 dan bahagian tengah yang boleh diturunkan, ruang simpanan kargo seluas 442 liter dan juga lampu pada bahagian pemijak kaki bagi menerangi ruang kaki.
Setelah menggunakan CX-5 selama beberapa hari meliputi lebuhraya, jalan bandar dan juga jalan kampung, purata penggunaan petrol CX-5 ialah 12km/liter petrol.
Ia satu angka yang boleh dibanggakan memandangkan berat CX-5 mencecah 1588kg dengan enjin 2500cc serta roda sukan bersaiz 19 inci. Sistem Start-Stop yang digunakan Mazda banyak membantu menjimatkan bahan api dan operasinya lancar hampir menyamai sistem hibrid Nissan Serena.
Bunyi Bising, Gegaran dan Kekasaran
Sesuai dengan matlamat menjadikan CX-5 tenang seperti bilik minum teh Jepun, saya bersetuju bahawa matlamat ini berjaya di capai oleh jurutera Mazda.
Sekiranya anda perhatikan dengan teliti, Mazda telah memasang getah pada cesi dan juga pada pintu bagi mengasingkan bunyi dari luar daripada masuk ke dalam kabin. Bunyi enjin telah disenyapkan sehabis baik, malah hanya ketika pecutan pada 5000RPM, baru ada deruman sport yang akan kedengaran
Halaju / Keadaan | Kadar Bunyi (dB) |
Dalam kabin tanpa enjin beroperasi | 15.8 |
Melahu | 20.4 |
Melahu dan penyaman udara beroperasi | 25.6 |
100 km/h | 60.1 |
110 km/h | 62.7 |
120km/h | 63.6 |
Sistem Keselamatan
Di sebalik sikap pesaing lain yang gemar mengitar semula cesi dan juga enjin untuk pasaran Malaysia, Mazda tampil dengan segar dengan suite i-ActiveSense yang bertujuan mengenalpasti potensi bahaya dan mengurangkan kesan kemalangan sekiranya ia tidak dapat dielakkan. Ciri ini merangkumi:
- 6 beg keselamatan udara
- Sistem brek keselamatan ABS
- Sistem kawalan cengkaman Dynamic Stability Control
- Adaptive Front Light System – arah lampu akan mengikut input steering
- Sistem Amaran Titik Buta
- Rear Cross Traffic Alert – Sistem Amaran dengan radar bagi amaran kenderaan dari belakang
- Sistem Amaran Pra Perlanggaran Hadapan
Sistem AFS merupakan satu sistem lampu yang akan mengubah arah lampu utama mengikut arah selekoh dan boleh berputar sehingga 15 darjah pada paksi.
Sistem ini sangat bermanfaat terutama jika anda memandu di dalam Kawasan selekoh dan gelap pada waktu malam. Ia menjadikan mata kurang penat kerana semua sudut selekoh akan diterangi oleh lampu CX-5 ini.

Walaupun saya bersetuju CX-5 adalah sebuah SUV yang bagus, namun beberapa perkara kecil terutama rekabentuk dalaman mempunyai beberapa kelemahan kecil seperti:
- Penggunaan krom pada roda steering boleh menyebabkan risiko silau pada pemandu
- Rekabentuk bulat pada tengah roda steering kelihatan seperti hidung
- Tiada penyangkut “teh Tarik” untuk menyangkut beg plastik apabila pulang dari pasar
- Kerusi belakang sedikit menegak, adalah lebih bagus sekiranya ia boleh disandar ke bawah
Berbaloi ke beli Mazda CX5 ?
Pada masa artikel ini ditulis, CX-5 telah pun mempunyai pesaing yang lebih lama bertapak di pasaran Malaysia dari jenama kontinantal, Jepun dan juga Korea.
Ada yang sangat praktikal dari segi ruang, ada yang mempunyai kelebihan pengendalian dan juga ada yang boleh berbual dengan pemandu. Tetapi CX5 tidak boleh bersembang dengan anda walaupun anda menjerit “Heyy Mazda” seperti lotong menjerit di dewan, namun ia akan tetap berkomunikasi dengan cara tersendiri.
Konsep Jinba Ittai yang ditawarkan oleh Mazda membuatkan CX-5 bercakap dengan pemandu melalui kawalan cesi dan pemanduan dinamik, enjin dan kotak gear yang responsif, ditambah pula dengan sistem GVC yang membuatkan anda teruja seperti anda mula mula mampu mengayuh basikal.
Mazda mendefinasikan kegembiraan melalui pemanduan dan CX-5 mampu melakukannya kerana ia bukan sekadar alat pengangkutan. Jika anda bekerja sebagai akauntan, mungkin anda tidak kisah dengan kereta anda berbunyi seperti penyedut hampagas.
Jika cogankata hidup anda ialah “Live your life to the fullest”, CX-5 adalah pilihan tepat untuk anda.
- BACA: TEKNOLOGI GVC – RAHSIA BESAR MAZDA!
- BACA: SKYACTIV DRIVE, TRANSMISI UNIK 6 KELAJUAN MAZDA
- BACA: KENALI ENJIN MAZDA SKYACTIV-G
- BACA: KENALI VTEC, iVTEC & VTEC TURBO
- BACA: SR16, JAWAPAN NISSAN KEPADA VTEC TYPE-R
- BACA: ENJIN SOHC & DOCH, MANA LEBIH BAGUS?
- BACA: VVT-iW, ENJIN GENIUS DARI TOYOTA
- BACA: 5 PETANDA ALTERNATOR HAMPIR ROSAK
- BACA: 6 TANDA SPARK PLUG PERLU DIGANTI
- BACA: PENYUNTIK BAHANAPI BESAR LAGI POWER?
- BACA: RAHSIA TENTANG MINYAK BREK (BRAKE FLUID)
- BACA: SEGALANYA TENTANG BREK ROTOR/DISC
- BACA: SEGALANYA TENTANG CALIPER BREK