Buletin

BMW 630i GT M SPORT 2021 CKD. 258HP, BERMULA RM431K

BMW Malaysia baru-baru ini memperkenalkan model BMW 630i GT M Sport CKD ke pasaran tempatan. SUV dengan gayaan coupe itu ditawarkan pada harga bermula RM430,800 seunit (di atas jalan tidak termasuk insurans).

BMW 630i GT M Sport tampil dengan grilkidney bersaiz besar, bampar rekaan baru dan lampu utama LED BMW Laserlight. Lampu LED Matrix dengan teknologi lazer itu menawarkan pancaran cahaya lebih terang dan jauh sehingga 650 meter demi meningkatkan keselamatan pemandu.

Gayaannya diserlahkan lagi dengan rim aloi ringan M Bicolour bersaiz 20 inci yang dibalut oleh tayar biasa dan jenis run-flat. Ia kelihatan lebih sporty apabila dipasang dengan angkup brek M Sport berwarna biru.

Bahagian belakang pula menerima bampar dengan peresap udara baharu dan pakej M Sport. Tidak ketinggalan, ekzos berkembar berbentuk trapezium. Sesuai dengan sifatnya sebagai sebuah jentera berprestasi tinggi, spoiler belakang aktif berfungsi meningkatkan downforce apabila dipandu pada kelajuan tinggi.

Spoiler berkenaan akan di dinaikkan secara automatik pada kelajuan 120km/j dan diturunkan semula apabila diperlahankan kepada 80km/j. Ia juga boleh dikawal secara manual menerusi butang di konsol tengah.

Memandu SUV ini menjadi lebih mudah dengan adanya ciri Comfort Access System dan BMW Display Key.

BMW 630i GT M Sport dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris yang mampu menjana output maksimum 258hp dan tork 400 Nm dengan serta kelajuan tertinggi 250km/j. Pecutan dari 0-100km/j boleh dicapai dalam masa cuma 6.5.

Biarpun begitu, ia masih mampu mencatatkan penjimatan bahan api sekitar 7.3 liter bagi setiap 100km.

Masuk ke ruang kabin, tempat duduk telah ditinggikan sebanyak 5cm untuk memberikan pandangan lebih jauh buat pemandunya. Rasa mewah bahagian dalaman ditingkatkan menerusi penggunaan upholsteri kulit Dakota, material bumbung antrasit, selain kemasan kayu dan penal chrome.

Pemandu turut dihidangkan dengan papan instrumen digital bersama paparan kawalan bersaiz 12.3 inci. Selain butang kawalan hitam berkilat pada konsol tengah dan panel instrumen Sensatec.

Keselesaan pemandu dan penumpang ditingkatkan dengan sistem pendingin hawa empat zon automatik. Bumbung kaca panoramik yang sepanjang 1 meter dan selebar 90cm membuatkan ruang kabin terasa lebih luas.

Bagi mereka yang gemar mendengar muzik, sistem audio Harman Kardon dengan 16 unit pembesar suara pasti dapat memberi kepuasan.

Dari segi bantuan digital, BMW 630i GT M Sport baharu didatangkan dengan Driving Assistant dan Parking Assistant Plus. Di samping Active Cruise Control dengan fungsi Stop&Go.

Turut disediakan sebagai ciri standard BMW Live Cockpit Professional digital sepenuhnya bersama Sistem Operasi BMW 7 yang menawarkan akses ke atas pelbagai kemudahan digital BMW.

Ia merangkumi navigasi, BMW Intelligent Personal Assistant, keupayaan keterhubungan 4G LTE, Remote Software Upgrade dan kemas kini peta tanpa wayar dan banyak lagi.

BMW 630i GT M Sport ditawarkan dalam empat warna iaitu kelabu, putih, hitam dan kelabu gelap. Pelanggan juga boleh memilih kemasan kulit Dakota hitam atau coklat untuk ruang kabin.

Dengan ‘Balloon Financing Plan’ yang ditawarkan oleh BMW Group Financial Services Malaysia, BMW 630i GT M Sport baharu boleh dimiliki menerusi pelan ansuran bulanan bermula RM4,778 (berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 80% bagi tempoh lima tahun).

GALERI

Google ads
Back to top button