Buletin

BMW MALAYSIA DEDAH X7 xDRIVE40i PURE EXCELLENCE VERSI CKD, HARGA BERMULA RM673K

BMW Malaysia memperkenalkan sebuah lagi model pemasangan tempatan (CKD), BMW X7 xDrive40i Pure Excellence.

Jentera terbaharu itu dijual pada harga bermula RM673,323.61 atau bulanan serendah RM7,468.00 dengan menggunakan Balloon Financing Plan.

Ia menawarkan lima warna menarik iaitu hitam (Black Sapphire), kelabu (Sophisto Grey), biru ( Phytonic Blue), putih (Mineral White) dan Manhattan Metallic.

BMW X7 xDrive40i Pure Excellence versi CKD itu masih menawarkan rekaan menarik yang menampilkan  gril hadapan ikonik, lampu BMW Laserlight, lampu kabus LED, rim aloi 21 inci Y-spoke style 753 Bicolour dengan tayar jenis run-flat, dan pintu tailgate berkuasa elektrik.

Ruang dalaman pula, ia mendapat sentuhan trim Crafted Clarity, roda stereng sport kulit, tempat duduk boleh dilaras elektrik, BMW Live Cockpit yang menampilkan dua skrin 12.3 inci, BMW Head-up Display, serta bantuan pengaktifan suara BMW Intelligent Personal Assistant dan BMW Gesture Control.

Antara ciri-ciri menarik lain termasuk Karpet Cahaya Aluan (Welcome Light Carpet, sistem audio Harman Kardon dengan 16 pembesar suara, sistem pendingin hawa lima zon automatik, Rear Entertainment Professional System, bumbung Panorama Roof Sky Lounge dan penghadang privasi berkuasa elektrik untuk cermin sisi.

Ia juga menawarkan ciri penutup pintu ‘soft-close’ dan ruang simpanan yang boleh ditingkatkan kepada 2,120 liter dengan melipat penyandar tempat duduk belakang.

BMW X7 xDrive40i Pure Excellece mendapat khidmat enjin enam silinder 3.0 liter yang mampu menjana kuasa 340 hp dan tork 450 Nm dipadankan sistem pacuan semua roda xDrive dan transmisi Steptronic Sport lapan kelajuan.

Ia berupaya memecut 0-100 km/j dalam tempoh 6.1 saat, dengan penggunaan bahan api sekitar 9.5 liter untuk setiap 100 km.

Selain itu, jentera itu dilengkapi Executive Drive Pro, sistem pacuan semua roda yang pintar, xDrive pula memaksimumkan cengkaman, kelincahan, serta kestabilan dalam pengendalian yang dihubungkan dengan ciri Kawalan Stabiliti Dinamik (Dynamic Stability Control). dan suspensi udara dwigandar dengan sistem DSC.

Dari aspek keselamatan, ia hadir dengan ciri-ciri seperti BMW Personal CoPilot, Parking Assistant Plus dengan automatic manoeuvring, Reversing Assistant, serta Driving Assistant yang merangkumi ciri seperti Amaran Keluar Laluan, Amaran Penukaran Laluan, Amaran pelanggaran Hadapan dengan intervensi brek, dan Kawalan Jelajah Aktif dengan fungsi Stop & Go.

BMW X7 xDrive40i Pure Excellece boleh didapati di semua pusat pengedar rasmi BMW di seluruh negara bermula 8 Mei ini.

Google ads
Back to top button