Buletin

BMW BANGUNKAN SEL BATERI BAHARU, 30 PERATUS LEBIH JAUH, 50 PERATUS LEBIH MURAH

Barisan kenderaan elektrik Neue Klasse BMW bakal menampilkan sel bateri lithium-ion termaju yang mampu menawarkan 30 peratus lebih jarak operasi, namun dengan kos 50 peratus lebih murah.

Unit bateri generasi keenam itu kini sedang dalam pembangunan di fasiliti BMW Group Battery Cell Centre of Excellence, Munich, Jerman.

Sel bateri itu bakal membawakan bentuk silinder dengan rekaan baharu yang membolehkan ia dipasang secara terus kepada rangka kenderaan.

Rekaan baharu itu bukan sahaja mampu menjadikan casis yang lebih tegar dan menjadikan kualiti pemanduan yang lebih baik, ia juga menyumbang kepada penjimatan kos sehingga 50 peratus untuk komponen pek bateri.

Masa pengecasan 10 hingga 80 peratus juga akan memakan masa 30 peratus lebih singkat berbanding model EV BMW semasa.

Selain itu, sel bateri baharu itu akan menggunakan bahan kobalt, nikel dan lithium kitar semula dan proses penghasilan sel itu akan menggunakan tenaga yang boleh diperbaharui.

Barisan kenderaan elektrik (crossover) yang dibangun menggunakan asas platform Neue Klasse akan dibina di kilang South Carolina bermula pertengahan dekad ini, sementara produksi bateri generasi keenam itu akan dikendalikan oleh Envision AESC dengan kapasiti pengeluaran yang mampu menjana sehingga 300,000 unit EV setahun.

Google ads
Back to top button