Artikel Pilihan

BMW F95 X5M. SUV PRESTASI TINGGI “UNDERDOG” DARI JERMAN

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini kita akan mengupas tentang sebuah SUV berprestasi tinggi. Apabila bercerita tentang SUV berprestasi tinggi, tentunya ramai akan tertumpu kepada Porsche Cayenne dan juga Range Rover Sport SVR. Hal ini kerana kedua-dua model ini merupakan “Trendsetter” bagi SUV berprestasi tinggi.

Namun hakikat sebenar ialah sebuah jentera dari BMW iaitu BMW X5M juga merupakan sebuah SUV berprestasi tinggi yang terawal memasuki pasaran. Pada tahun 2009, pihak BMW telah melancarkan BMW E70 X5M yang mampu menghamburkan kuasa sebanyak 542hp dan daya kilas sekuat 680Nm. Jentera ini menjadi SUV paling berkuasa di dunia ketika itu dengan mengalahkan pesaingnya iaitu Mercedes Benz ML63, Porsche Cayenne Turbo S dan Jeep Grand Cherokee SRT8.

Bayangkan Tuan-Tuan. Memegang rekod sebagai SUV paling berkuasa di dunia. Pada waktu ini belum wujud lagi Range Rover Sport SVR dan Lamborghini Urus.

Disebabkan rekod ini juga lah pihak BMW masih meneruskan legasi jentera ini sehingga sekarang. Yang terbaru, pada tahun 2020 pihak BMW telah melancarkan model terbaru BMW X5M dengan kod cesi F95. Sebagai salah sebuah SUV paling berkuasa di dunia, adakah ia berbaloi dimiliki di Malaysia ? Mari sama-sama kita lihat.

Pertama sekali kita lihat jantungnya iaitu enjinnya terlebih dahulu.

Jentera ini dilengkapi dengan enjin V8 8 Silinder berkod S63B44T4 bersesaran 4,395cc(4.4L). Enjin ini merupakan enjin yang sama digunakan pada BMW F90 M5. Enjin ini mampu menghamburkan kuasa sebanyak 591hp dan daya kilas sekuat 750Nm. Pihak BMW menawarkan naiktaraf kepada varian “Competition” dimana kuasa enjin ditingkatkan kepada 617hp. Bapak power !

Kuasa yang hebat ini dihantar ke kotak gear 8-Kelajuan Automatik dari ZF berkod 8HP75. Kotak gear ini mampu menampung daya kilas sekuat 750Nm tanpa masalah. Kotak gear ini ditala oleh pihak BMW dengan fungsi “Drivelogic”. Fungsi “Drivelogic” ini ialah ia membenarkan pemandu mengawal karakter penukaran gear mengikut cara pemanduan.

Sekiranya jentera dipandu secara agresif, kotak gear akan menahan penukaran gear pada rpm tinggi. Sekiranya dipandu secara santai, penukaran gear akan berlaku dengan pantas sekaligus dapat mengoptimumkan penggunaan bahanapi.

Kuasa seterusnya dihantar ke sistem pacuan semua roda (AWD) M xDrive dari BMW. Sistem ini merangkumi sistem “BMW xDrive Intelligent All Wheel Drive” dan dipadankan bersama “Active M Differential”. Namun tidak seperti BMW F90 M5 yang mempunyai mod 2WD, jentera ini tidak dilengkapi dengan sistem itu. Namun begitu, kuasa yang diterima akan disalurkan lebih ke tayar belakang. Bias ke belakang.

Cesi jentera ini turut dinaiktaraf oleh pihak BMW bagi membolehkannya menampung kuasa yang dihamburkan oleh enjin. Sistem gantungan pula menerima sistem jenis “Double Wishbone” pada bahagian hadapan dan “Multilink” pada bahagian belakang. Sepertimana cesi, begitu juga dengan sistem gantungan dimana ia dibuat dan ditala khusus oleh divisyen M supaya selari dengan kuasa yang diterima. Disini kita lihat bahawa kuasa yang hebat memerlukan banyak kerja dilakukan terhadap keseluruhan kenderaan supaya ia sentiasa berada dalam keadaan terkawal dan selamat.

Sistem gantungan jentera ini juga menerima sistem “Adaptive Suspension” bersama 3 mod iaitu “Comfort, Sport & Sport Plus”. Mod ini boleh dipilih oleh pemandu mengikut kesesuaian. Setiap mod memberikan karakter pemanduan yang berlainan. Perubahan setiap karakter pemanduan juga adalah sangat signifikan.

Sekarang kita pergi pada angka.

Dimensi jentera ini adalah seperti berikut :-

Tinggi – 1,747mm
Panjang – 4,938mm
Lebar – 2,015mm
Berat – 2,310kg

Nampak tak berat jentera ini, hampir 2.5 tan Tuan-Tuan. Sebenarnya sangat berat. Akan tetapi, sekiranya dibandingkan dengan pesaingnya seperti Range Rover Sport SVR dan Mercedes Benz GLE63s jentera ini lebih ringan.

Walaupun berat, jentera ini mampu memecut dari 0-100km/h secepat 3.8 saat sahaja. Kelajuan tertinggi pula dihadkan pada 250km/h. Had kelajuan ini boleh dibuang apabila bakal pemilik memilih “M-Driver Package” dan menjadikan kelajuan tertinggi boleh mencapar 290km/h tanpa masalah.

Bila dah laju dan berat, keupayaan brek juga sangat dititikberatkan. Jentera ini menerima set angkup brek 6 piston bersama rotor bersaiz 395mm pada bahagian hadapan dan set angkut brek 1 piston bersama rotor bersaiz 380mm pada bahagian belakang. Set angkup brek belakang beruntegrasi sekali dengan sistem “Electronic Parking Brake” (EPB).

Bagaimana pula dengan aspek penggunaan bahanapi ?

Kadar penggunaan bahanapi jentera ini ialah sekitar 12.5L/100km. Kapasiti tangki bahanapi pula ialah sebesar 83 Liter. Mengikut perkiraan harga petrol RON97 semasa yang bernilai RM3.12 seliter, setangki penuh menelan kos sehingga RM258.00. Setangki penuh bahanapi boleh membawa jentera ini sejauh 664km bergantung kepada cara pemanduan.

Ruang kargo jentera ini ialah sebesar 650 Liter dan boleh dibesarkan lagi apabila kerusi belakang dilipat. Hal ini menjadikan jentera ini sangat praktikal di dalam aspek kargo. Macam-macam boleh sumbat.

Aspek keselamatan jentera ini menerima bermacam-macam bantuan elektronik bagi membolehkan jentera dapat dikawal dan mengelakkan dari berlakunya kemalangan. Sekiranya berlaku kemalangan, jentera ini disahkan selamat apabila memperoleh 5 bintang Euro NCAP.

Besar, praktikal, laju, selamat. Apa lagi nak ?

Dari segi persaingan, jentera ini bersaing terus dengan model seperti Lamborghini Urus, Range Rover Sport SVR, Mercedes Benz GLE63s, Porsche Cayenne Turbo.

Jika diambil kira dari segi harga, jentera ini masih bernilai hampir 1 juta ringgit bagi unit “Recon”. Bukan murah ye Tuan-Tuan, saingan jentera ini pun ialah Lamborghini Urus dan bukannya Perodua Aruz.

Google ads
Back to top button