
BMW GROUP MALAYSIA PERKENAL PROGRAM PERSIJILAN PAKAR VOLTAN TINGGI BMW
BMW Group Malaysia kini melahirkan pakar berkemahiran tinggi dalam lapangan Mobiliti Elektrik menerusi program Persijilan Pakar Voltan Tinggi BMW yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Selain memperkayakan landskap kenderaan elektrik (EV) di Malaysia menerusi rangkaian infrastruktur pengecasan yang ekstensif, pengenalan persijilan itu bermatlamat untuk mengiringi kemajuan mobiliti elektro sejak barisan kenderaan BMW i terbaharu diperkenalkan pada awal tahun ini.
BMW Group percaya bahawa masa depan kita akan berlandaskan elektrik. Sejak BMW Group Malaysia julung kali melancarkan BMW i buat pertama kali pada tahun 2015, mereka telah membayangkan Malaysia akan menerima mobiliti elektrik dan mula bekerja keras untuk menunaikan visi tersebut.

“Kami memahami halangan yang terpaksa dihadapi oleh rakyat Malaysia untuk menerima EV. Misalnya isu jarak operasi yang kami sedang tangani dengan memperluaskan infrastruktur EV di seluruh negara. Pada masa yang sama, servis dan pembaikan juga menjadi pertimbangan.
“Kami ingin memberi jaminan bahawa para pelanggan boleh berasa lega dalam perihal pemilikan jentera BMW i mereka. Justeru, keperluan para pakar yang berkelayakan dalam lapangan Mobiliti Elektrik serta sokongan jaringan pusat pengedaran adalah penting sebagai persiapan kepada pengelektrifikasian dan pengenalan BMW i di Malaysia,” kata Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Hans de Visser.
Pakar Voltan Tinggi BMW merupakan kakitangan berkemahiran khusus yang akan berurusan dengan kenderaan elektrik BMW. Dijalankan di Pusat Latihan Serantau BMW Group yang terletak di Malaysia, program tersebut membolehkan servis dan pembaikan kenderaan BMW i ditawarkan di seluruh dunia.

Untuk menjadi Pakar Voltan Tinggi BMW, individu berkenaan haruslah diperakui sebagai Juruteknik Voltan Tinggi BMW terlebih dahulu, Mereka perlu melalui proses prapemilihan terdiri daripada penilaian ilmu pengetahuan serta temu duga. Individu tersebut juga harus mendapatkan sijil pertolongan cemas dan menjalani pemeriksaan kesihatan.
Kemudian, mereka akan menjalani latihan intensif selama 15 hari dan harus lulus dua ujian teori serta empat ujian praktikal untuk
mara ke peringkat seterusnya. Ia disusuli dengan ujian teori yang terakhir serta demonstrasi praktikal melibatkan operasi voltan tinggi untuk memperoleh sijil tersebut yang akan ditamatkan dalam tempoh 10 hari lagi.
Persijilan Pakar Voltan Tinggi BMW dilihat sebagai aspek penting dalam mendukung pembangunan satu ekosistem yang matang di Malaysia di mana EV dapat terus berkembang maju.









