Buletin

BMW i5 TOURING - TRADISI WAGON BMW YANG BERGAYA DITERUSKAN

Percayalah, dalam segmen wagon ada satu jenama yang cukup mudah untuk diingati dan dihafal. BMW 5 Series adalah jawapan mutlak untuk sebuah wagon yang cukup bergaya dan praktikal untuk sebuah keluarga. Boleh dibawa bekerja mahu pun untuk membawa ahli keluarga bersiar – siar ke IKEA misalannya.

Seiring dengan peredaran dan pengenalan BMW i khusus untuk kereta masa hadapan, maka telah ada beberapa model daripada keluarga i diperkenalkan termasuklah BMW i5, sebuah sedan eksekutif yang cukup bergaya. Lantaran daripada itu, pengeluar kereta terkemuka dari Jerman itu turut memperkenalkan BMW i5 Touring, sebuah model wagon yang tiada tolok bandingnya buat penggemar 5 Series dan juga kereta elektrik.

Sudah tentu bahagian rupa hadapan tidak ada bezanya dengan model sedan yang telah pun dilihat sebelumnya. Cuma yang menjadi persoalan kepada penggemarnya bagaimanakah rupa sebenar bahagian belakang apabila ianya dijelmakan sebagai sebuah wagon. Dan sang perekanya memilih untuk tidak terlalu ekstrem pada rekaan bahagian belakang yang masih kelihatan hampir sama dengan rekaan sedan. Lampu utama bahagian belakang masih lagi mendatar dengan rekaan garis bumbung masih lagi kelihatan selamat dan tidak melampau.

BMW i5 eDrive40 Touring ini menggunakan pacuan roda belakang motor tunggal, menghasilkan kuasa 340 hp dan 430 Nm. EDrive40 Touring melakukan pecutan dari titik pegun ke 100 km/j hanya 6.1 saat dan terus memecut ke kelajuan tertinggi pada 193 km/j. Dan ianya cuma kekurangan 0.1 saat sahaja berbanding saudara sedannya ketika memecut laju.

Berkongsi pek bateri yang sama seperti sedan eDrive40, BMW i5 eDrive40 Touring mempunyai jarak pemanduan yang lebih pendek iaitu 560 km (WLTP) berbanding 582 km untuk varian sedan. Juga sama seperti sedan, ia berupaya membuat pengecasan AC 22 kW dan pengecasan DC 205 kW.

Masih sama seperti varian sedan, i5 Touring ini turut menampilkan bar interaksi serta paparan melengkung berkembar yang menggunakan Sistem Operasi BMW 8.5 terkini. Selaras dengan aspirasi tenaga yang boleh diperbaharui, tiada unsur binatang pada ruangan kabin yang dibalut dan ianya dikelaskan sebagai Vegan Car (Kereta Sayur?).

Ciri wagon yang paling utama sudah tentulah ruangan kargo yang boleh dikira cukup luas. Secara standard sekiranya kesemua kerusi digunapakai, ruang belakangnya berkeluasan sehingga 570 liter. Namun ruang kapasiti boleh ditingkat sehingga 1,700 liter sekiranya kerusi belakang dilipat / disimpan sepenuhnya atau pun mengikut nisbah 40 : 20 : 40. Setakat nak bawa beg golf, almari IKEA, sofabed atau pun mesin jahit Singer memang tak ada masalah langsung. Kalau gamak, boleh juga nak bawa pergi meniaga di Pasar Tani.

Sekarang ini siapa kata kereta elektrik dan wagon sporty tidak boleh bersatu?

BACA : KINI ANDA BOLEH MAIN GAME DALAM KERETA DENGAN BMW 5 SERIES DAN i5 2024

BACA : BMW 3 SERIES TOURING, WAGON BUKAN PILIHAN SEMUA

Google ads

B K

Back to top button