Buletin

BMW i8 TUTUP TIRAI. HASILKAN 18 WARNA UNIK

Pengeluaran BMW i8 sudah menemui titik noktahnya. Namun pembikin kereta mewah berkenaan mahu memastikan jentera sport hibrid itu meninggalkan impak.

Sebanyak 18 jentera dipadankan dengan warna unik yang tidak pernah digunakan pada produk pengeluaran kenderaan hibrid itu.  

Menurut BMW, usaha menghasilkan 18 kenderaan dengan pelbagai warna berbeza memberi cabaran tersendiri. Ia memaksa juruteknik mengecat menggunakan tangan mereka.

Malah, BMW juga perlu bekerjasama dengan pembekal bagi mendapatkan komponen-komponen kustom.

“Bagi pengeluaran BMW i8 yang ditamatkan dalam keadaan seperti ini, ia sesuatu yang boleh dibanggakan oleh semua,” kata pengarah kilang berkenaan, Hans- Peter Kemser.  

Sebilangan besar para pelanggan untuk kenderaan keluaran terakhir ini merupakan pemilik dari BMW i8 Club International.

Bahkan, ada di antara mereka bersama-sama hadir melihat kenderaan ini keluar dari saluran pemasangan.

Kenderaan terakhir dalam pengeluaran merupakan Roadster i8 berwarna biru (Portimao Blue). Sepanjang pengeluaran model i8 selama enam tahun, BMW telah menghasilkan sebanyak 20,500 unit kereta sport hibrid ini.

Biarpun i8 tidak mencatatkan kejayaan besar dalam jualan, tetapi ia pasti dapat mencetuskan permintaan dalam pasaran kereta terpakai.

Dengan pengeluaran yang rendah, penampilan menarik dan prestasi tinggi kemungkinan besar ia akan menjadi produk yang dicari oleh pengumpul barangan rare pada masa hadapan.

Dalam perkembangan berkaitan, tiada petanda BMW akan menggantikan model i8 dengan kereta sport hibrid lain. – motor1

Tags
Google ads
Back to top button