Buletin

BMW iX. EV PALING CANGGIH BMW. MOTOR BERKEMBAR, 503PS, 600KM SEKALI CAJ

Seperti yang dijanjikan, BMW akhirnya mendedahkn model SUV elektrik pertamanya yang diberi nama BMW iX. Dikenali sebagai iNext sebelum ini, ia menjadi bukti kepada hala tuju BMW yang semakin serius dalam menghansilkan kenderaan elektrik sepenuhnya. 

Menjadi model elektrik kedua selepas i3, iX mempunyai dimensi seperti BMW X5 dengan ketinggian sebuah X6 dan jarak roda model X7. Berbeza dengan kedua-dua model tersebut, tiang A iX diinjakkan ke hadapan bagi memberi lebih ruang kepada penumpang. 

Biarpun mempunyai ruang kabin yang begitu luas, BMW membina iX sebagai sebuah SUV dengan kapasiti lima tempat duduk. Jentera tersebut dibina menggunakan platform aluminium baharu, plastik serta plastik yang diperkukuhkan (CFRP). 

Model flagship itu sarat dengan inovasi terkini dalam dunia elektrifikasi, pemanduan automatik dan ketersambungan yang bakal ditampilkan ke dalam kenderaan masa depan BMW. Ia menjadi kenderaan pertama yang menggunakan teknologi EV generasi kelima BW yang boleh diskalakan. 

Maksudnya, teknologi tersebut boleh diubah suai untuk kegunaan dan saiz kenderaan yang berbeza. iX bakal dipasang di kilang Dingolfing, selatan Bavaria, Jerman pada separuh kedua 2021. Ia dijadual memasuki pasaran seperti Amerika Syarikat pada awal tahun 2022. 

Dari segi luaran, gril kidney yang besar itu pasti membuatkan ramai menepuk dahi. Tetapi harus tahu bahawa ia bukan sekadar gril biasa. Sebaliknya, ia dilengkapi pelbagai teknologi seperti kamera radar dan sensor bagi penggunaan sistem bantuan pemanduan. 

Semua komponen berkenaan adalah seahagian daripada teknolohi yang membolehkan iX membuat kemas kini secara over-the-air melalui ketersambungan 5G serta teknologi pemanduan autonomi tahap ketiga. 

iX digerakkan oleh motor elektrik berkembar dengan output kuasa yang masih belum didedahkan. Rangkaian kuasa itu menampilkan teknologi BMW eDrive generasi kelima yang turut terdiri daripada elektronik kuasa, teknologi pengecasan dan bateri voltan tinggi. 

Tanpa menggunakan nadir bumi yang jarang ditemui, ia mampu menghasilkan kuasa lebih 503PS dan mampu memecut dari 0-100km/j dalam masa bawah 5 saat.

Motor elektrik tersebut dikuasakan oleh bateri berkapasiti lebih 100kWh. Pek bateri itu dikatakan boleh menawarkan jarak lebih 600km dengan sekali caj penuh. 

Jika pelanggan menggunakan pengecaj pantas DC sehingga 200kW, bateri boleh dicaj dari 10 ke 80 peratus dalam masa kurang 40 minit. Senang cakap, setiap 10 minit caj menawarkan jarak lebih 120km.

Kalau dicaj menggunakan Wallbox berkuasa 11kW pula, masa yang diperlukan untuk caj penuh adalah 11 jam.     

Melihat dari arah sisi, jentera itu hadir dengan rekaan pintu tanpa kerangka, bumbung seperti terapung dan rim sebesar 22 inci yang dibalut tayar 275/40. Bonet hadapannya tidak boleh dibuka untuk meletak barangan atau sebagainya. 

Aspek aerodinamik dipertingkatkan dengan meminimumkan liang udara, panel bahagian bawah badan rata dan hendal pintu ditanam pada badan. Hasilnya, pekali seretan yang divatatkan hanya 0.25 sahaja. Bagi mereka yang inginkan gaya lebih sporty, BMW ada menawarkan pakej M Sport. 

Rekaan dalaman iX sangat minimalis bersama stereng berbentuk heksagon. Menggunakan material kitar semula, susun aturnya direka untuk memberikan ruang kabin yang selesa dan cukup luas.

Papan pemuka hanya dihuni oleh dua skrin paparan berkembar melengkung sebagai intrumen digital (12.3 inci) dan sistem infohibur bersaiz 14.9 inci. 

Bahagian bawah papan pemuka dibiarkan kosong untuk memberi lebih ruang kepada pemandu dan penumpang hadapan. Dial kawalan BMW iDrive dan tuil gear kecil yang diperbuat daripada kristal diletakkan pada perehat tangan bersama kemasan kayu, nampak begitu elegan. 

Cuma yang saya secara peribadi kurang gemar ialah penggunaan warna biru pada tempat duduk, papan pemuka dan panel pintu. Warna biru itu dipilih kerana ia merupakan warna trademark untuk jenama BMW i. Ketiadaan kerusi baris ketiga pula menawarkan ruang kargo seluas 650 liter. 

Buat masa sekarang, BMW masih belum mendedahkan harganya. Namun jika dilihat kepada harga X5 yang kini berharga AS$59,400 (RM245,500), ditambah pula dengan bateri, ia mungkin ditawarkan pada harga lebih AS$70,000 (RM289,000). Harga itu pastinya berganda jika dibawa masuk ke pasaran Malaysia. 

GALERI

Google ads
Back to top button