
10 MODEL KERETA YANG KERAP MEMBUAT TUNTUTAN WARANTI, DATA DARI CARWOW & WARRANTYWISE
Salah satu rancangan permotoran yang suka ditonton oleh penulis ialah CARWOW yang dihoskan oleh Mat Watson. Rancangan ini banyak memberikan review solo secara professional bagi kereta-kereta yang baru dilancarkan. Pada bulan May 2020 yang lepas mereka bekerjasama dengan Warrantywise bagi mencari data model kereta yang membuat tuntutan waranti
Tuntutan waranti ini merangkumi data yang diambil dari tahun 2010-2020 yang melibatkan kereta yang berusia 3 tahun dan ke atas. Warrantywise membekalkan servis waranti pada kereta terpakai bagi kereta yang telah tamat jaminan waranti oleh pengeluar asal. Data ini diambil dengan mengambil kira kekerapan model kereta tersebut membuat tuntutan waranti dan juga kos yang terlibat bagi setiap kali tuntutan dibuat.
Berikut ialah senarai model kereta yang kerap membuat tuntutan dengan syarikat Warrantywise
1. Tesla Model S – jika beberapa hari lepas Mr. Akio Toyoda menempelak syarikat Tesla, maka ada benarnya kerana di UK antara masalah yang sering berlaku ialah berkaitan dengan komponen elektrik yang bermasalah dan mati secara tiba-tiba tanpa sebab yang munasabah.
Secara purata kos tuntutan ialah sekitar RM 7322 bagi setiap kes namun kos paling mahal ialah penyerap hentak air suspension dengan kos RM 24,000.

2. BMW M4 – antara masalah yang selalu terjadi ialah berkaitan dengan sistem brek dengan kos purata RM 9108 bagi setiap tuntutan. Namun kos paling mahal bagi model ini ialah berkaitan dengan sistem infotainment yang berharga RM 21,814.
3. Mercedes GL – bagi generasi kedua model ini, antara perkara yang selalu rosak dan dituntut ialah berkaitan dengan komponen elektrikal dengan kos purata RM 6443. Sama seperti BMW, kos paling mahal yang pernah dituntut melibatkan komponen infotainmen dengan kos RM 24,714.

4. Ford S-Max (2006-2014) – atau dikenali dengan nama Ford Galaxie di UK memang terkenal dengan masalah transmisi klac berkembar dengan kos pembaikan purata ialah RM9566. Namun kos ini boleh mencecah sehingga RM 26,000 bagi isu yang sama
5. BMW X5 – senarai ini tidak termasuk model terbaru namun meliputi generasi pertama sehingga ke tiga. Antara masalah popular dengan SUV ini ialah berkaitan dengan komponen sistem penyerap hentak dengan kos purata mencecah RM 8698. Namun kos paling mahal dikeluarkan oleh Warrantywise mencecah RM 50,000 bagi pembaikan enjin.

6. Range Rover – merupakan ikon SUV British yang terkenal dengan penggunaan air suspension, namun apabila rosak kos pembaikan boleh mencecah sehingga RM 7033. Namun kos pembaikan paling mahal melibatkan kerosakan enjin dengan kos mencecah sehingga RM 60,000
7. Audi Q7 – bagi model yang telah mencecah umur 10 tahun, masalah biasa yang selalu terjadi ialah berkaitan dengan komponen elektrikal dengan anggaran kos RM 6825. Namun kos paling mahal dikeluarkan ialah bagi membaiki enjin yang bocor dengan kos mencecah RM 47,000

8. Jaguar XJ – salah satu kereta ikon British namun dihantui masalah berkaitan dengan sistem penyimpanan dan penghantaran petrol dari tangki kepada enjin. Secara purata kos pembaikan bagi masalah ini adalah RM 6437. Namun bagi masalah enjin, Warantywise pernah membayar tuntutan sehingga RM 50,000.
9. Porche Cayenne – bagi model yang lama, antara masalah popular yang membabitkan model ini ialah komponen elektrikal yang bermasalah dengan kos purata RM 7846. Kos pembaikan paling mahal bagi model ini ialah RM 34,778 bagi masalah enjin

10. Bentley Continental GT – walaupun jenama ini merupakan warisan jenama British, namun jenama ini merupakan sebahagian daripada kumpulan VW. Sama seperti model-model lain, komponen elektrikal merupakan antar komponen yang bermasalah dengan kos purata RM 12,553. Namun bagi masalah enjin kos ini boleh mencecah sehingga RM 58,000