Artikel PilihanMotosikal

DEFINITION CE 04 – SKUTER ELEKTRIK PALING COOL DARI BMW MOTORRAD

BMW Motorrad kini dikatakan semakin hampir untuk melancarkan skuter elektrik terbaru mereka yang dinamakan CE 04 di #NEXTGen 2020. Ia bukan hanya sebuah skuter tetapi juga merupakan cara berkomunikasi terbaru untuk warga kota (eh, kampung pun okey guna ni bawak gi surau, no hal).

BMW cukup yakin dengan gaya baharu skuter ini hasil kombinasi kuasa elektrik, rekaan memecah tradisi dan juga dikatakan satu penyelesaian inovatif cara berkomunikasi.

Malah dilihat dari gambar yang disertakan, skuter ini memang jaug berbeza dari skuter yang ada di pasaran (tak nampak macam skuter dari Taiwan kan?). Ia kelihatan lebih rendah dan futuristik tetapi tidak kelihatan agak melampau.

Ia juga diwarnakan dengan warna dua tona iaitu Mineral White pada bahagian panel luaran dan Matte Black pada komponen dalaman. Rekaan lampu utama hadapan berbentuk U manakala lampu belakang pula berbentuk C.

Bateri berbentuk leper yang diposisikan di bahagian bawah memberikan kelebihan ruang simpanan yang lebih luas untuk penunggang. Berbeza dengan skuter biasa, ruang simpanan ini boleh dibuka dari bahagian sisi dan memudahkan penunggang untuk menyimpan topi keledar dan pelbagai peralatan lain. Pusat graviti yang rendah hasil penggunaan bateri berbentuk leper juga memastikan skuter ini lebih mudah dikawal dan lebih lincah.

Penunggang juga boleh menghubungkan skuter ini dengan telefon pintar dengan menggunakan paparan bersaiz 10.25 inci yang bertindak sebagai penghubung antara dunia digital dan dunia abalog seorang penunggang.

Buat masa sekarang ciri teknikalnya belum didedahkan oleh BMW tapi jangan berharap sangat yang skuter ini mampu digunakan untuk perjalanan jarak jauh. Ini kerana Definition CE 04 ini memang direka untuk kegunaan warga kota yang bergerak hanya sekitar 12 kilometer sehari. Bangi-KL pun tak lepas bang.

Google ads
Back to top button