
BMW M1 – IKON PERMOTORAN LAGENDA
BMW ini mungkin kita tidak pernah menyangka bahawa mereka pernah membina sebuah Supercar yang hebat. Inilah dia, BMW M1, sebuah kisah Supercar ikon permotoran BMW yang pastinya ramai tidak mengetahui.
Ada kisah menarik disebalik pembuatan model ulung BMW ini. Buat pertama kalinya, BMW mahu membina sebuah kereta yang laju yang bukan berasal daripada model produksi massa, sama seperti model BMW 530 MLE misalannya. Cadangan asalnya adalah BMW akan membina komponen teknikal manakala Lamborghini pula akan membekal casis dan badan kepada kereta ini nanti. Namun disebabkan Lamborghini mengalami masalah kewangan hingga mengakibatkan kelewatan tentang perkara ini.

Akhirnya BMW memutuskan untuk membina sendiri model M1 ini dengan mendapatkan bantuan daripada Giorgio Giugiaro dari ItaDesign untuk mereka bentuk rupa kereta ini di Turin sebelum pemasangan akhir dijalankan di Munich, Jerman.
BMW M1 ini menggunakan enjin M88 3.5 liter enam silinder dengan sistem suntikan bahan api daripada Kugelfischer yang digandingkan dengan kotak gear manual enam kelajuan. Enjin ini berupaya menghasilkan kuasa 273 HP dan 330 Nm. Kelajuan maksimum yang berupaya dicatat adalah 265 km/j. Dari enjin yang sama jugalah telah disumbatkan ke dalam model M5 berikutnya untuk menjadikan sebuah sedan yang berprestasi tinggi dan laju.

Tahukah anda bahawa badan Supercar ini hanya diperbuat daripada fiber glass sahaja manakala bahagian casis menggunakan jenis tubular steel space-frame yang memastikan kereta ini kekal ringan dan rigid dalam masa yang sama. Berat kereta ini hanyalah 1,300 kg sahaja.
Dan sebagai sebuah kereta yang tujuan pembuatannya untuk kelajuan dan berlumba, bahagian kabin menampilkan rekaan yang ringkas sahaja. Tempat duduk pun hanya dibalut dengan separuh kulit dan separuh lagi kain biasa sahaja.

Tahukah anda lagi bahawa tujuan asal pembuatan model ini sememangnya dibuat untuk berlumba sahaja, BWM M1 Procar Championship yang juga merupakan perlumbaan sokongan sebelum perlumbaan F1 diadakan waktu itu.
Jumlah produksi BMW M1 ini hanyalah 460 unit sahaja dengan sejumlah 53 unit telah diperuntukan untuk perlumbaan manakala bakinya untuk umum sekali gus menjadikan model ini cukup rare dalam pasaran. Sudahlah lagenda,rare pula tu kan?
Dengan dimulakan produksi pada tahun 1978 sebelum riwayatnya ditamatkan sepenuhnya pada tahun 1981.




