Buletin

BMW M2 2023 BAKAL JADI MODEL TERAKHIR M DENGAN ENJIN PEMBAKARAN DALAMAN TULEN

Selari dengan perkembangan semasa, hayat enjin pembakaran dalaman tulen nampaknya sudah semakin hampir ke penghujung.

Terbaharu, BMW M mengesahkan model coupe BMW M2 2023 akan menjadi model terakhir M yang dilengkapi dengan enjin pembakaran dalaman tulen.

Menurut CEO-nya, Frank van Meel dalam temubual oleh Bimmer Today, “BMW M2 dengan enjin enam silinder sebaris dan pacuan roda belakang akan menjadi sebuah jentera pemanduan yang tulen.

“Kami melihat peningkatan langkah elektrifikasi pada kenderaan lain, bermula dari sistem hibrid ringan 48 voltan, sistem plug-in hybrid hinggalah kepada EV sepenuh masa.

“Melihatkan cara ini, ya, BMW M2 akan menjadi model M terakhir dengan enjin pembakaran dalaman tulen tanpa bantuan hibrid seperti hibrid ringan 48 voltan,” ujarnya lagi.

Jadi, BMW M2 2023 seharusnya menjadi model pilihan bagi mereka yang masih lagi tidak mampu menerima hakikat enjin pembakaran dalaman bakal pupus kelak.

Menurut van Meel lagi, M2 2023 akan turut ditawarkan dalam varian transmisi manual, di mana kotak gear itu nampaknya menjadi pilihan separuh daripada pembeli M2 di Amerika. – Motor1

Google ads
Back to top button