Buletin

BMW MALAYSIA BAKAL LANCAR SUV ELEKTRIK iX. 2 VARIAN, KUASA CECAH 516HP

BMW Malaysia dijangka memperkenalkan SUV elektrik pertamanya ke pasaran tempatan tidak lama lagi. Perkara tersebut disahkan menerusi dua hantaran di laman Facebook rasmi mereka pada hari ini. 

Berdasarkan kepada laman web mikro yang membolehkan pelanggan menyatakan minat mereka, mungkin dua varian akan ditawarkan iaitu BMW iX xDrive 40 dan BMW iX xDrive50. Jentera tersebut melakukan debut pertama pada November tahun lalu dan pantas mendapat perhatian ramai. 

xDrive40 dilengkapi dua motor elektrik berkuasa 322hp dan 630Nm yang membolehkannya melakukan pecutan 0-100km/j dalam masa 6.1 saat. Sementara xDrive50 yang turut menggunakan dua unit motor elektrik bagaimanapun memiliki output kuasa lebih tinggi 516hp dan 765Nm. Pecutan 0-100km/j lebih pantas dengan 4.6 saat sahaja. 

Perbezaan output kuasa itu berlaku kerana xDrive40 dipasang dengan pek bateri berkapasiti 71 kWh yang mampu menawarkan jarak operasi sejauh 425 km. Manakala xDrive50 menggunakan khidmat pek bateri 105.2 kWh dengan jarak pemanduan mencecah 630 km.

BMW iX hadir dengan sistem pengecasan AC 11 kW yang memerlukan masa sekitar lapan hingga 11 jam untuk dicaj penuh. Sistem iu juga mampu menampung pengecasan pantas DC sehingga 200 KW yang membolehkan pengecasan 10-80 peratus kapasiti dalam tempoh hanya 35 minit.

Jika dicaj di stesen pengecasan pantas, xDrive50 hanya mengambil masa sekitar enam minit atau lapan minit (xDrive40) untuk mendapatkan jarak sejauh 100km. 

Tidak dapat dipastikan berapakah harga SUV elektrik itu jika ia dipasarkan di sini. Sebagai perbandingan, varian BMW iX xDrive50 sudah mula dijual di Thailand dan ditawarkan pada harga 5.99 juta baht (RM792,000) seunit. 

Google ads
Back to top button