Buletin

BMW X5 xDrive40e – RM388,800!

BMW Group Malaysia hari ini memperkenalkan BMW X5 xDrive40e baharu, kenderaan plug-in hybrid premium terkini yang dipasang di dalam negara.

BMW X5 xDrive40e merupakan model ke-11 yang menyertai portfolio model CKD di kemudahan BMW Group Malaysia di Kulim Hi-Tech Park. Model ini mengetengahkan kandungan tempatan, pemasangan dan peralatan ujian yang baru di kilang tersebut.

“BMW X5 xDrive40e baharu membuka era baru BMW EfficientyDynamics. Ia menawarkan prestasi luar biasa dan mobiliti elektrik sepenuhnya dengan emisi sifar,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Han Sang Yun.

BMW-X5- xDrive40e-mekanika (6)

Sentuhan rekaan luaran yang eksklusif dan tersendiri pada model ini menyerlahkan BMW X5 xDrive40e sebagai sebuah model SAV  hibrid yang unik.

Ciri paling ketara ialah sambungan pengecasan untuk bateri bervoltan tinggi pada bahagian depan kiri kenderaan. Bagi menunjukkan aliran tenaga, lampu berwarna biru akan menyala sebaik sahaja proses mengecas dimulakan.

BMW-X5- xDrive40e-mekanika (8)

Karekter dinamik BMW X5 xDrive40e dipertingkatkan menerusi Pakej M Sport Aerodynamic yang hadir sebagai ciri standard. Selain lampu utama jenis Adaptive LED, BMW X5 xDrive40e turut dipasang dengan lampu kabus LED. Jentera ini menggunakan rim aloi ringan dua jejari M bersaiz 19 inci.

BMW X5 xDrive40e baharu dijana oleh enjin petrol empat silinder paling berkuasa dalam portfolio enjin BMW Group. Enjin 2.0 liter itu berupaya menjana kuasa maksimum 245hp dan tork puncak 350Nm. Sementara motor elektriknya pula menawarkan kuasa mencecah 83kW dengan tork maksimum 250Nm yang boleh diperolehi secara serta-merta.

BMW-X5- xDrive40e-mekanika (5)

Gabungan rangkaian kuasa ini membolehkan BMW X5 xDrive40e  mencatat pecutan 0 hingga 100km/j dalam masa cuma 6.8 saat. Kelajuannya dihadkan secara elektronik kepada 210km/j dan tork puncak 450Nm.

Ketika berada dalam mode elektrik sepenuhnya, SAV baharu itu mampu bergerak dengan kelajuan maksimum 120km/j. Pecutan dinamik luar biasa BMW X5 xDrive40e bagaimanapun menawarkan penjimatan bahan api sekitar 3.3 liter bagi setiap 100 kilometer dan emisi C02 hanya 77 gram bagi setiap kilometer.

BMW-X5- xDrive40e-mekanika (4)

Kuasa yang dijana daripada dua sumber itu kemudian disalurkan menerusi transmisi Steptronic lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda sepenuh masa BMW xDrive.

Memandangkan ia disambung dengan  Dynamic Stability Control (DSC), sistem xDrive mampu bertindak lebih awal untuk mengelakkan kenderaan daripada mengalami masalah understeer atau oversteer.

BMW-X5- xDrive40e-mekanika (7)

Butang eDrive membolehkan pemandu menukar di antara tetapan AUTO eDrive, MAX eDrive atau SAVE Battery. Manakala suis Driving Experience Control pula berfungsi mengaktifkan mode talaan kenderaan seperti COMFORT, SPORT dan ECO PRO.

Rekaan  plug-in hybrid pada BMW X5 xDrive40e menyediakan asas yang ideal  untuk penggunaan ekstensif sistem pacuan elektrik. Bateri bervoltan tinggi menawarkan kapasiti tenaga sehingga 9.2 kWh.

Kuasanya boleh ditambah menggunakan soket kuasa biasa di rumah. Bateri ini boleh dicaj penuh daripada kosong dalam masa 3 jam 50 minit.

Di bawah pakej BMW 360° ELECTRIC, pelanggan akan ditawarkan dengan perkhidmatan ChargeNow yang merangkumi sekeping kad ChargeNow. Kad itu menawarkan akses terus kepada stesen-stesen pengecasan,  ChargEV yang disediakan hasil kerjasama di antara BMW Group Malaysia dengan Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia).

BMW-X5- xDrive40e-mekanika (10)

Stesen-stesen ChargEV kini sudah beroperasi di 19 lokasi straegik di Kuala Lumpur, Selangor, Kedah, Melaka dan Johor.

BMW X5 xDrive40e didatangkan dalam warna perak, putih, kelabu dan hitam bersama pilihan upholsteri kulit Dakota Terra atau Dakota Black.

BMW-X5- xDrive40e-mekanika (12)

Harga runcit (di atas jalan, tidak termasuk insurans bersama Jaminan Perbatuan Tanpa Had Selama 5 Tahun daripada BMW Group Malaysia, Program Servis Berjadual Secara Percuma dan Program Jaminan Tayar BMW) ialah:

BMW X5 xDrive40e baharu                             –      RM  582,800.00

Harga runcit dengan Insentif Hibrid yang diluluskan oleh kerajaan,

tidak termasuk insurans                                   –     RM  388,800.00

Google ads
Back to top button