Buletin

HYUNDAI GRANDEUR 2023 – GENERASI BARU LEBIH MEWAH, MODEN

Jika rekaan sedan mewah Hyundai terdahulu agak biasa-biasa sahaja, cuba lihat model generasi baharu Hyundai Grandeur yang baharu sahaja diperlihatkan.

Nampak lebih mewah, lebih elegan, dan nyata menghapuskan perasaan skeptikal terhadap jenama H senget itu.

Bahasa rekaan Hyundai jelas terpampang pada bahagian depan, di mana Hyundai Grandeur menampilkan rupa seakan Staria dengan jalur LED melintang penuh, diikuti dengan unit lampu utama dan jeriji parametric jewel pada bahagian bawah.

Profil sisi pula menampilkan pemegang pintu tertanam kemas, serta kaca tiga segi yang merupakan satu penghormatan kepada model asal Grandeur tahun 1986.

Ia bukanlah rekaan asal daripada Hyundai, sebaliknya Grandeur generasi pertama sebenarnya merupakan versi rebadge daripada model Mitsubishi Debonair.

Bahagian belakang juga turut membawakan pendekatan yang sama, di mana terdapat jalur LED merah nipis melintang bahagian tersebut.

Memasuki ruang kabin, Hyundai Grandeur menyediakan susun atur yang lebih kemas, moden dan mewah, terdiri daripada skrin paparan berkembar, skrin ketiga untuk kawalan iklim di konsol tengah, roda stereng rekaan baharu, serta kawalan berasingan untuk penumpang baris belakang.

Sistem pencahayaan ambien turut disediakan, sementara tempat duduk pula dibaluti kulit eko Nappa, serta kulit anti-bakteria pada sesetengah tempat.

Spesifikasi penuh Hyundai Grandeur bakal didedahkan dalam masa terdekat.

Google ads
"
"
Back to top button