Buletin

BUDAK 13 TAHUN PANDU KERETA LAWAN ARUS DITAHAN POLIS DI KEMAMAN

Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun ditahan polis kerana memandu kereta secara melulu dan tanpa lesen dengan membawa empat penumpang di Taman Banggol Indah, Chukai di sini, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, remaja terbabit ditahan kira-kira jam 5.15 petang setelah dikesan memandu kenderaan secara melawan arus.

Menurutnya, tindakan itu disedari anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman ketika menjalankan Op Lancar/Op Samseng Jalanan di sekitar kawasan itu pada jam 4 petang.

“Polis mengesan suspek yang memandu kereta jenis Proton Saga berwarna putih datang dari arah bertentangan secara melawan arus ketika melalui Jalan Bawah Jambatan Geliga (Waterfront).

“Anggota bertugas cuba menahan kenderaan itu namun pemandunya tidak mengendahkan arahan supaya berhenti dan terus memecut laju untuk melarikan diri.

“Polis terus mengekori dan mengarahkan supaya kereta itu berhenti sebanyak tiga kali namun masih tidak diendahkan,” katanya menerusi kenyataan di sini, pada Khamis malam.

Menurut Hanyan, polis mengekori suspek sejauh 10 kilometer (km) sebelum remaja berkenaan memberhentikan kenderaan di sebuah kedai dobi layan diri dan bertindak melarikan diri.

“Suspek bersama empat rakan berusia lingkungan 13 hingga 16 tahun berjaya ditahan dan dibawa ke BSPT Kemaman untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” ujarnya. – Sinar Harian

Google ads
Back to top button