Buletin

BUDAK MAUT AKIBAT LANTAI BAS BERLUBANG LULUS UJIAN PUSPAKOM

Berikutan insiden seorang pelajar darjah enam yang maut akibat jatuh dari bas sekolah yang sedang bergerak, PUSPAKOM Sdn Bhd (PUSPAKOM) telah menghantar laporan pemeriksaan bas sekolah selepas kemalangan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada petang semalam (10 Julai 2019).

Ini berikutan pemeriksaan kemalangan ke atas bas sekolah tersebut bersama dengan PDRM, JPJ dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang dilakukan pada 9 Julai 2019.

PUSPAKOM tidak boleh memberi komen mengenai laporan tersebut secara lebih lanjut kerana ia di bawah siasatan polis. Walau bagaimanapun, PUSPAKOM ingin menegaskan bahawa PUSPAKOM tidak sesekali berkompromi terhadap kenderaan yang tidak mengikut piawaian yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurut data pemeriksaan PUSPAKOM bagi bas-bas sekolah bagi tempoh 1 Julai 2018 hingga 30 Jun 2019, daripada lebih 26,000 pemeriksaan berkala bagi bas-bas sekolah, sebanyak lebih 7,300 bas sekolah atau 28% telah gagal pemeriksaan PUSPAKOM kerana tidak mengikut piawaian pemeriksaan.

Ini merangkumi bahagian atas dan bawah kenderaan, brek, sistem gantungan kenderaan, gelincir sisi, asap dan lain-lain lagi yang tertakluk dalam skop pemeriksaan. Rekod ini jelas menunjukkan bahawa PUSPAKOM tidak sewenang-wenangnya meluluskan kenderan yang tidak menepati skop dan piawaian pemeriksaan.

Bas di dalam insiden di Kelantan tersebut telah melalui pemeriksaan berkala pada bulan Mei, dan berdasarkan rekod dan gambar-gambar pemeriksaan, PUSPAKOM telah memeriksa bas sekolah tersebut mengikut skop dan piawaian yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Kesemua item pemeriksaan pada bas sekolah tersebut adalah dalam keadaan baik.

Sehubungan itu, PUSPAKOM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan andaian yang tidak berasas yang boleh menambahkan lagi kesedihan keluarga mangsa dan serahkan kes ini kepada pihak polis untuk membuat siasatan yang menyeluruh.

Tags
Google ads
Back to top button