Buletin

BUGATTI BABY II JELMAAN TYPE-35. TERHAD 500 UNIT SAHAJA

Banyak perbincangan dilakukan mengenai ‘model kedua’ Bugatti dan akhirnya ia memasuki produksi. Model yang diperkatakan bukanlah crossover mahupun 16C Galibier.

Jentera dimaksudkan ialah Baby II yang dipertontonkan kepada khalayak pada Geneva Motor Show tahun lalu.

Dibangunkan bersama syarikat The Little Car Company, model terbaharu ini mendapat inspirasi daripada model asal Baby yang merupakan versi Type-35 dalam saiz kecil.

Kereta ini telah dibangunkan Ettore Bugatti ketika menyambut ulang tahun kelahiran keempat anak lelaki bongsunya, Roland. Pada asalnya, ia hanya dibikin satu sahaja sebagai hadiah anak lelakinya.

Disebabkan ia terlalu popular, model ini mula memasuki produksi dan dijual antara tahun 1927 dan 1936.

Baby II merupakan kesinambungan idea tersebut tetapi dari segi saiz ia lebih besar berbanding skala asal Baby. Begitupun, jentera ini masih kecil kerana ia adalah model skala.

Model terbaharu ini direka khusus untuk mereka yang berusia 14 tahun ke atas dan ditawarkan dalam tiga varian iaitu standard, novice dan expert.

Bagi konfigurasi standard, ia didatangkan dengan badan komposit dan bateri lithium-ion 1.4 kWh yang menggerakkan motor di bahagian belakang.

Mod novice pula, mampu menghasilkan 1.34 hp dan kelajuan maksimum mencecah 20 km/j manakala expert berkemampuan mencapai output sehingga 5.36 hp serta kelajuan 45 km/j.

Selain tiga pilihan ini, terdapat varian lebih canggih iaitu Vitesse ataupun Pur Sang yang didatangkan dengan badan karbon fiber, bateri 2.8 kWh dan powertren dinaik taraf dengan Speed Key diilhamkan oleh Chiron.

Biarpun Pur Sang memiliki powertren menyamai Vitesse, ia disasarkan kepada pengumpul kereta.

Perbezaan Pur Sang terletak pada perincian aluminium secara manual yang mengambil masa kira-kira 200 jam untuk disiapkan di bahagian badan model ini.

Di bahagian kabin, didatangkan dengan stereng yang mudah ditanggalkan bagi keselesaan memasuki kenderaan ini.

Model ini juga mempunyai papan pemuka aluminium menyamai replika Type-35, pedal aluminium billet, dan pemegang pam bahan api yang berfungsi sebagai gear.

Selain itu, ia dilengkapi lampu depan LED dan logo Bugatti ‘Macaron’ diperbuat daripada perak padat 50 gram.

Pengeluaran terhad kepada 500 unit sahaja. Harga jualan bermula pada €30,000 (RM163,571). Bagaimanapun, bagi model Vitesse ia dijual pada harga €43,500 (RM237,178) manakala Pur Sang pula €58,500 (RM318,964)-carscoops.

Tags
Google ads
Back to top button