Buletin

INI KISAH BUGATTI DIVO NO.1 SEBELUM DIHANTAR KEPADA PEMILIK

Bugatti Divo hanya ditawarkan sebanyak 40 unit terhad dan semua telah habis dijual. Kereta hiper itu dalam fasa pemasangan dan unit pertama dijadual untuk meninggalkan Atelier (studio/bengkel) Bugatti di Molhseim, Alsace, Perancis dan diserahkan kepada pemiliknya.

Apabila bercakap tentang penyerahan, apakah prosedur pemeriksaan kualiti sebelum kereta eksotik ini diterima pemiliknya? 

Bagaimanakah Bugatti memastikan Divo yang berprestasi tinggi ini tidak gagal? Ini kisahnya.

Setiap unit perlu memenuhi standard Bugatti dengan kesempurnaan tinggi dan ia dipastikan melalui sesi pandu uji kelulusan akhir yang ekstensif.

Empat kakitangan yang menjalani latihan intensif dari Atelier dan dua dari jabatan jaminan kualiti diberi tanggungjawab untuk menguji setiap unit Divo.

Sebelum Divo dipandu ke jalan raya selepas siap dipasang, dua pekerja akan memasang filem pelindung khas dengan ukuran lapan meter pada badan kereta.

Di bahagian bawah pula penutup asal tidak digunakan dan pekerja memasang penutup khas untuk sesi ujian dan roda asal diganti dengan set roda ujian.

Kesemua fungsi elektronik diperiksa oleh juruteknik dan casis dilaras termasuk darjah roda (wheel toe).

Sejak 2005, Steve Jenny bertanggungjawab bagi mengeluarkan kelulusan dinamika model-model Bugatti. Sebagai seorang pakar jaminan kualiti, beliau memberi perhatian terhadap sekecil-kecil perkara.

Beliau dengan teliti memeriksa 95 peratus dari semua kereta Bugatti yang telah dibina dengan tangan di Molsheim hingga sekarang.

Steve Jenny telah memandu lebih daripada 340,000 km dengan Veyron, Chiron dan sekarang terlibat dengan Divo pula. Senarai semak kualiti Divo mempunyai lebih dari 100 perkara untuk beliau tanda.

Di dalam proses tersebut perkara pertama beliau buat ialah memeriksa sama ada kereta mematuhi pelarasan (homologation) yang diperlukan di negara yang dihantar.

Steve Jenny juga melakukan pemeriksaan akhir berdasarkan spesifikasi pilihan pelanggan. Adakah kesemua kemahuan dan pilihan pelanggan dibuat dengan betul?

Pada langkah ketiga, pemeriksa kualiti menguji kesemua fungsi yang melibatkan elektrik seperti paparan kawalan, tingkap berkuasa, navigasi, sistem suara dan sistem penyaman udara.

Selepas kesemua langkah dipenuhi barulah Steve Jenny menghidupkan enjin W16 dan memandu keluar dengan perlahan dari Atelier.

Sesi pandu uji melibatkan masa sehingga lima jam dan meliputi laluan berjarak 300 km melalui Alsace, Perancis. Kereta dibawa ke kawasan pergunungan Vosges termasuk laluan jalan raya awam dan lebuh raya.

Semasa ujian kelulusan dinamika kereta, Steve Jenny memeriksa respon stereng Divo, tingkah laku di selekoh dan pelbagai lagi perkara di dalam sesi tersebut.

Untuk ujian pecutan dan kelajuan tinggi, setiap unit Divo dipandu di landasan yang ditutup di lapangan terbang Colmar.

Di situ Divo tertakluk kepada beberapa ujian fungsian yang memerlukan kelajuan melebihi 250 km/j.

Berikut ialah perkara yang beliau uji di lapangan terbang Colmar: `

  • Kawalan Permulaan (Launch Contol).
  • Ujian dalam mod pemanduan berbeza.
  • Fungsi brek udara (Airbrake).
  • Tukaran laluan pantas pada kelajuan 170 km/j.
  • Tingkah laku brek. 
  • Pembrekan penuh dari 160 km/j hingga 0 km/j.
  • Pemeriksaan ESP.
  • Sama ada kuasa penuh 1,500 PS turut didapati pada 340 km/j.

Selepas meninggalkan lapangan terbang Colmar, kereta dipandu pada kelajuan lebih sederhana untuk menyejukkan kuasa enjin W16 8.0 liter dengan kuasa 1,500 PS dan 1600 meter ini.

Menurut beliau, dengan kereta yang secara majoritinya dipasang dengan tangan seperti Divo ada beberapa perkara yang akan timbul selepas pemanduan dan mereka perlu perbetulkan.

Tambah Steve Jenny lagi, itu adalah pendekatan Bugatti dan mereka mencari beberapa perkara kecil tetapi boleh menjadi poin kritikan dan membetulkannya sebelum diserahkan kepada pelanggan. Dari situ barulah pelanggan akan gembira dengan Divo mereka. 

Berikut pula apa yang dilakukan Steve Jenny semasa sesi ujian:

  • Merekodkan reaksi, bunyian atau tanggapan yang kelihatan janggal atau tidak ideal pada beliau melalui rakaman suara semasa memandu.
  • Selepas memandu, beliau akan memasukkan ulasan pada kad routing.
  • Analisa bersama rakan sekerja dibuat pada hari berikutnya.

Divo hanya akan disediakan untuk langkah seterusnya apabila pemandu uji tidak mendengar sebarang bunyi kecil yang pelik atau rasa apa-apa gegaran yang menggangu.

Selepas kereta dibawa pulang ke Atelier, juruteknik akan menukar minyak kotak gear, memasang penutup bawah kereta dan roda yang asal.  

Ujian masih tidak lengkap dan disusuli pandu uji terakhir selama sejam pada jarak melebihi 50 km sebelum kelulusan terakhir dinamika dapat dikeluarkan.

Enam jam untuk kelulusan visual

Selepas juruteknik menghabiskan masa selama satu hari bagi menanggalkan pelindung badan dengan berhati-hati, kini tiba masa untuk artis mengecat menghasilkan kemasan yang memakan masa selama dua hari.

Para pekerja memakai sarung tangan putih dan halus bagi memeriksa permukaan kereta untuk kemasan yang sempurna dalam tempoh audit pemeriksaan selama enam jam.

Selepas itu baru lah Divo diletakkan di bawah pencahayaan lampu siang hari yang terang di dalam terowong cahaya di Atelier.

Tugas pemeriksaan dilakukan oleh oleh Christophe Piochon dalam tempoh kira-kira satu jam untuk setiap model yang telah sedia untuk penghantaran. 

40 buah Bugatti Divo dijadual untuk dihantar kepada pelanggan dalam tempoh beberapa bulan dan setiap satu berharga (net unit price) EUR 5 juta atau bersamaan RM 24.61 juta.

BACA: BUGATTI BABY II, JANGAN DITANYA BERAPA HARGA!

BACA: RIM DAN TAYAR BUGATTI VEYRON INI LEBIH MAHAL DARI TOYOTA VELLFIRE

BACA: VUHL 05RR – LAGI POWER BERBANDING BUGATTI VEYRON, MCLAREN P1 & FERRARI F12 TdF

Google ads
Back to top button