Artikel Pilihan

SUSAH SEBENARNYA NAK BUAT KERETA

Kali ini penulis mengajak pembaca untuk berfikir dan membuat sedikit analisa berkenaan industri automotif terutama di Malaysia. Apabila kita membayangkan industri automotif, perkara pertama yang terbayang ialah keadaan bilik pameran serba cantik dan pusat servis yang serba lengkap. Namun sebenarnya industri ini merangkumi aspek yang luas bermula dengan penyedian bahan mentah, industri sokongan dari pihak vendor, aspek pengeluaran yang bila disebut mesti merangkumi sumber tenaga manusia, kaedah pembuatan, mesin, bahan mentah dan modal yang besar.

Jika sesuatu jenama mampu bertahan dan membuat untung selama berpuluh tahun tanpa mengharapkan sokongan, dana kerajaan, bantuan teknikal dari luar serta kerjasama dari pesaing, maka syarikat tersebut merupakan sebuah entiti yang sangat berdaya saing. Banyak sebenarnya syarikat dan jenama automotif yang tersungkur di dalam pasaran selepas gagal menjual dan membuat untung dalam industri ini. Ada juga jenama automotif ini terpaksa dijual kepada syarikat dari Asia untuk terus kekal wujud.

Saya pinjam gambar ini dari Renault bagi menerangkan situasi ini bagi menerangkan betapa susahnya pihak industri untuk memenuhi semua rungutan dan kehendak pengguna di seluruh Malaysia. Ok saya bergurau, sayap itu tak perlu pun sebenarnya. Tapi percayalah, pengguna mahukan satu produk idaman mereka pada harga yang sangat murah dan kalau boleh percuma.

Ya pengeluar mendengar kehendak dan rungutan semua pengguna namun sebenarnya mereka bekerja dalam keadaan tangan yang terikat terutama dalam beberapa isu yang lain. Jadi mereka akan menentukan apakah ciri-ciri kehendak dan keperluan bagi produk mereka. Mungkin ada beberapa ciri yang lama perlu dikorbankan bagi memberi laluan kepada ciri-ciri baru diterapkan pada produk mereka.

Kesemua ciri yang akan dipasangkan pada kereta akan menyebabkan kos tambahan perlu dikenakan pada pengguna. Jadi cara yang selamat mereka terpaksa memilih fitur yang benar-benar diperlukan oleh pengguna. Sebagai contoh, pengguna Mazda di Amerika merungut berkenaan NVH Mazda 3 yang lama terutama di bahagian belakang. Jadi Mazda terpaksa menukar suspensi Multi-Link mereka kepada torsion beam (seriously?) agar NVH kereta mereka dapat ditingkatkan. Penebat bunyi akan ditambah agar kereta menjadi lebih senyap

Namun pada masa yang sama jangan salahkan jurureka bentuk syarikat kerana mereka telah berusaha dengan keras agar rekaan mereka sentiasa bersifat futuristik. Namun sebaik sahaja eksekutif akaun dan pasukan kawalan kos masuk campur, ia ibarat mencampurkan air dengan minyak. Tak ngam punya. Mereka akan pastikan produk ini ditawarkan pada harga yang munsabah dan semua idea rekaan tadi pasti akan dibuang dan digantikan dengan sekeping panel sesentuh sebesar 40 inci.

Jadi jangan hairan apabila kita melihat kereta konsep di pameran kereta, walaupun puas kita mengisi ruang maklum balas, hasilnya 2 tahun lagi agak susah untuk dipuji kerana kos untuk membina sebuah kereta dan memberi keuntungan pada syarikat memang susah untuk dibuat. Atau mungkin fitur yang kita perlukan itu ada, tapi kereta tersebut tidak seronok dipandu di selekoh. Bak kata JKKK kampung saya “you gain some, you lose some“.

Halangan seterusnya ialah rang undang-undang yang digazetkan di parlimen dan mesti dikuatkuasakan serta merta. Ia akan memaksa pengeluar menghasilkan kereta yang lebih kuat dalam kemalangan, lebih menjimatkan bahan api, serta kawalan asap yang lebih baik. Ya saya setuju ia akan menjadikan kereta lebih selamat namun pada masa yang sama ia akan menghasilkan rekaan yang semakin kompleks seperti perangai isteri kita.

Struktur kereta akan berubah menyebabkan lebih banyak titik buta wujud di bahagian depan dan belakang, memaksa kita menggunakan sistem amaran titik buta yang pastinya lebih mahal. Isu seterusnya ialah undang-undang yang memaksa enjin menjadi semakin cekap dan semakin bersih, mungkin asap kereta nanti lebih selamat dari asap vape dan juga kentut suami anda.

Mazda CX30

Namun dari segi positif, undang -undang ini akan memaksa kereta yang digunakan semakin cekap dan bersih. Sudah tentu kita tidak mahu menggunakan kereta dengan 200 kuasa kuda namun asap yang dilepaskan boleh membunuh kita dalam masa seminit. Apabila enjin menjadi semakin bersih, maka sukar untuk pengeluar menghasilkan enjin yang berkuasa tanpa bantuan turbo. Mereka akan menghasilkan enjin yang lebih baik dengan transmisi yang lebih baik tetapi undang-undang yang semakin ketat setiap tahun menjadikan proses pembangunan dipercepatkan. Ya sudah tentu pengguna akan menjadi tikus makmal untuk menguji semua teknologi ini.

Unit trenkuasa ini bukan lagi seperti 20 tahun dahulu di mana formen hanya perlu menggunakan pemutar skru dan spanar sahaja untuk memeriksa tetapi mereka memerlukan komputer riba dan peralatan diagnosis bagi memeriksa kereta . Jadi kos servis kereta akan menjadikan kos pemilikan kereta akan bertambah dan harus ditanggung oleh pengguna.

Pengeluar juga akan membuat keuntungan bagi setiap kereta yang dijual namun anda kena ingat mereka perlu membayar gaji pekerja, kos pembangunan, program sokongan vendor, latihan pekerja dan jika ada masalah panggilan balik ia akan merugikan pengeluar. Kos menghasilkan satu model baru bukan murah tuan tuan, ia boleh melebihi 2.6 billion dari peringkat rekaan, penghasilan peralatan pembuatan, pemasaran dan pengedaran.

Bagi memastikan mereka menghasilkan keuntungan, maka unit kajian dan pembangunan akan memastikan jika sesuatu cesi dibangunkan ia boleh digunakan untuk menghasilkan kereta kompak, sedan, crossver dan kereta terbang. Alat ganti dan komponen mestilah boleh dikongsi pada kadar 80% agar mereka mencapai skala ekonomi yang baik. Jadi jangan hairan jika praktis perkongsian platform menjadi satu kebiasaan sekarang. Rekaan mereka perlu dibuat pada skala yang besar dan fleksible.

Toyota Supra / BMW Z4, Toyota GT 86/ Subaru BRZ, dan Toyota Raize/ Daihatsu Rocky adalah contoh bagaimana perkongsian platform boleh dibuat. Namun dalam penghasilan kereta sport yang hanya dibeli dalam kuantiti yang sedikit, adalah amat merugikan jika Toyota dan BMW tidak bekerjasama dalam menghasilkan kereta sport. Harganya pasti akan melambung tinggi bagi mendapatkan balik modal dengan cepat. Semuanya bergantung pada pemandu dan jurutera bagi memastikan kereta Z4 dan Supra memiliki rasa yang berbeza.

Namun bagi kereta murahan yang dipakai oleh penulis sendiri, perkongsian platform akan dilakukan secara maksima. Dari segi aspek pengendalian, respon steering, brek dan pecutan akan menjadikan kereta yang berkongsi platform ini sama seperti meminum kopi segera 3 in 1 berbanding menghirup secawan Latte dari jenama terkenal. Produk ini akan kehilangan jiwa dan semangat.

Berbalik pada kehendak pengguna sekarang yang gemar memandu crossover ataupun SUV untuk kegunaan harian, ini menyebabkan pengeluar sibuk sepanjang tahun agar mereka tidak ketinggalan dalam trend terbaru kerana gagal mendengar kehendak pengguna bermakna syarikat akan hilang tapak dalam pasaran. Mungkin selepas ini pengeluar perlu menghasilkan crossover dalam versi sport, GT, versi perlumbaan, rali dan juga kalis peluru pula. Mungkin juga pihak tentera akan memasang meriam 90mm howitzer pada bumbung crossover pula selepas ini.

Mungkin beberapa rekaan lain kereta seperti sedan, MPV dan hatchback akan pupus secara perlahan-lahan disebabkan kehendak pengguna yang meminati SUV dan crossover. Jual saja produk yang dikehendaki oleh pengguna demi memastikan keboleh lansungan hidup syarikat dapat diteruskan. Bukan senang untuk menjaga periuk nasi 20,000 ribu orang pekerja ya tuan-tuan

Jadi untuk terus relevan, selain mengikuti trend kehendak pengguna masa kini, pengeluar perlu fokus pada kekuatan yang ada pada jenama mereka. Mereka perlu fokus dalam menghasilkan produk yang mampu milik, kos penggunaan yang murah, kos servis yang murah, tahan lasak dan pengalaman pemilikan yang baik. Ianya jauh lebih baik daripada mereka cuba menghasilkan semua jenis kategori kenderaan namun pada masa yang sama tidak berkualiti

Berbalik semula pada tajuk perbincangan, adakah susah untuk menghasilkan sebuah kereta yang sangat bagus dan memenuhi semua keperluan pengguna? Bagi penulis jawapannya ialah sangat susah dan mencabar. Jika anda rasa kereta yang dihasilkan terlalu bosan, maka cara yang paling mudah ialah ubahsuai kereta tersebut mengikut kehendak anda ataupun beli saja jenama lebih mahal. Pasti selesai masalah anda.

Google ads
Back to top button