,
Motosikal

SAYA MAHU MOTOSIKAL PALING LAJU DAN BUKANNYA YANG MUDAH DIKAWAL – MARC MARQUEZ

Tidak dapat dinafikan yang Marc Marquez sememangnya ialah ayam tambatan pasukan Repsol Honda dan mereka semestinya akan mengambil berat segala input dan permintaan yang disuarakan oleh Marquez. Tapi jika ada pelumba Honda lain yang mahu Marquez meminta Honda menyediakan motosikal yang lebih senang dikawal semestinya mereka akan merasa kecewa. Ini kerana ia langsung tiada dalam perancangan Marquez.

Marquez mahukan motosikal yang lebih laju dan bukannya jentera yang mudah dikawal. Motosikal yang mudah dikawal akan membantu pelumba Honda lain tapi Marquez sudah menyuarakan yang dia mahukan sebuah motosikal yang lebih laju. Itu yang dinyatakan Marquez selepas sesi ujian 2 hari di Valencia untuk jentera RC213V prototaip yang akan digunakan untuk musim hadapan.

Tanpa mengira sama ada motosikal itu susah dikawal ataupun tidak Marquez menyatakan sasaran beliau ialah untuk menang.  Jika itu bermakna beliau perlu mencurahkan lebih usaha sekalipun ia bukannya satu halangan untuk Marquez.

Antara bahagian yang cuba dinaiktaraf ialah bahagian chasis bagi memperbaiki catatan masa sepusingan agar lebih baik.

Marquez baru sahaja memenangi kejuaraan keenam MotoGP beliau dengan 12 kemenangan dan 18 podium sekaligus menyapu bersih kategori pelumba, pasukan dan pengeluar untuk HRC. Malah beliau juga merupakan satu-satunya pelumba Honda dalam Top 8 perlumbaan bertaraf dunia ini.

Pelumba Sepanyol itu bercakap selepas berjaya mencatatkan masa ke tujuh terpantas selepas sesi ujian terakhir. Beliau cukup gembira dengan prototaip 2020 itu khususnya dari segi enjin dan evolusi chasis. Terdapat kebaikan dan keburukan semestinya tetapi ia masih merupakan satu sesi ujian yang baik.

Kedua jentera tahun ini dan prototaip 2020 hampir sama tetapi Marquez percaya ia mempunyai potensi untuk ditingkatkan. Semuanya masih baru dan pelbagai pengubahsuaian masih perlu dilakukan sebelum tiba musim baru.

Tags
Google ads
Back to top button