Buletin

VOLKSWAGEN TUTUP BUKU, HOT HATCH UP! GTI TIDAK LAGI BOLEH DITEMPAH

Masa depan hot hatch kecil up! GTI kian kelam apabila Volkswagen mengumumkan tempahan untuk model tersebut kini telah ditutup.

Menurut laporan, fasa produksi masih lagi tetap terus berjalan disebabkan terdapat tempahan tertunggak yang harus diselesaikan.

Berita ini muncul tidak lama selepas laporan yang menyebut model prestasi itu telah dihentikan penjualannya dari pasaran UK.

Disifatkan sebagai pewaris spiritual kepada model Golf GTI yang asal, hot hatch segmen A itu dikuasakan oleh enjin tiga silinder sebaris 1.0 liter menghasilkan 115 hp dan 200 Nm.

Dengan berat sekitar 1,070 kg, up! GTI mampu memecut sepantas 8.8 saat dari pegun sebelum mencapai 100 km/j.

Volkswagen tidak merancang untuk memperkenalkan generasi baharu up! GTI, memandangkan pengeluar itu akan melancarkan kereta elektrik bersaiz kecil sebagai pengganti, berkemungkinan besar dengan nama ID.1 atau ID.2.

Nasib Polo GTI juga tidak begitu cerah, memandangkan CEO VW Thomas Schäfer menjelaskan undang-undang emisi Euro 7 boleh menjadikan model supermini itu terlalu mahal untuk dijual. – Top Gear NL

Google ads
Back to top button