DALAM PAKATAN, NISSAN JUAL LEBIH BANYAK KERETA DARIPADA RENAULT
Dalam seminggu ini heboh dikatakan tentang penahanan Carlos Ghosn, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Renault-Nissan-Mitsubishi.
Beliau dikatakan telah melakukan beberapa salah laku seperti laporan pendapatan dan penggunaan aset syarikat. Satu perkara tentang isu ini ialah kebanyakannya daripada sebelah pihak iaitu Nissan dan laporan media.
Sehingga artikel ini ditulis tiada lagi kenyataan dari peguam Carlos Ghosn atau beliau sendiri.
Hakikatnya Pakatan Renault-Nissan bermula dalam keadaan Nissan benar-benar terdesak dan begitu juga dengan Mitsubishi. Hubungan dua budaya barat dan timur ini dikatakan paling bertahan selepas Mazda dan Ford.
Namun tidak kesemuanya kekal, Mazda dan Ford sudah berpisah manakala Suzuki dengan Kumpulan VW pula berhadapan dengan krisis sebelum sempat membuahkan apa-apa hasil.
Proton dan Mitsubishi Motors Corporation (MMC) juga pernah berkerjasama dan seperti yang diketahui umum kini terlipat dalam sejarah.
Nampaknya selamat untuk dikatakan bahawa Kumpulan VW paling berjaya dalam membawa segenap jenama Eropah dari kenderaan penumpang dan eksotik hingga kenderaan komersil dan motosikal di bawah satu payung.
Di bawah Kumpulan VW kesemua jenama berasal dari benua Eropah dan keupayaan kerjasama mereka dengan syarikat dari Asia belum benar-benar teruji.
Begitu juga dengan Toyota Motor Corporation, jenama ini belum pernah menguasai jenama asing dan jika ada pun hanya syarikat sekutu seperti Perodua.
Namun disebalik ini, General Motors pula lebih dinamik dengan pelbagai kerjasama bisnes bermula dari negara asalnya sendiri ke Jepun, Korea Selatan dan China.
GM tampak lebih bersikap sederhana walaupun mereka berada dalam top lima jualan kenderaan tertinggi di dunia.
Satu persoalan sekarang ialah model kerjasama dan perkongsian manakah yang lebih baik? Jika dibandingkan di antara Kumpulan VW dan Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi nampaknya cara Kumpulan WV lebih berkesan.
Satu perkara tentang Kumpulan VW ialah, ketuanan Volkswagen lebih mendahului mana-mana jenama dalam kumpulan ini. Sama ada platform atau teknologi, VW nampak lebih mendominasi. Malah cara perniagaan Ducati (di bawah Audi) sendiri pun sudah nampak ala VW.
Berbeza dengan Pakatan, Nissan sebenarnya mencatat jualan lebih tinggi berbanding Renault atau Mitsubishi sendiri. Pada masa yang sama, Renault mendominasi pegangan sebanyak 43.4 peratus dalam Nissan.
Dalam hal ini persoalan yang harus ditanya ialah siapa tuan? Siapa yang harus bertolak ansur?
Berikut ialah fakta jualan dan sumbangan dalam Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi:
- Renault-Nissan-Mitsubishi adalah pakatan automotif terbesar dunia
- Jualan Pakatan untuk enam bulan pertama sehingga 30 Jun ialah 5,538,530, meningkat sebanyak 5.1 peratus
- Jualan ketiga-tiga syarikat ini disumbangkan oleh peningkatan permintaan terhadap model-model crossover, SUV, pikap, EV dan hibrid elektrik
- Dari tiga jenama, Renault menyaksikan peningkatan jualan untuk Clio, Captur dan Scenic
- Nissan pula menerima pertambahan permintaan untuk Note, Serena, X-Trail dan Qashqai
- Jualan Mitsubishi pula disumbangkan oleh Eclipse Cross dan XPANDER
- Nissan LEAF adalah EV terlaris di Eropah dengan jualan melebihi 18,000 unit. Jualan global LEAF untuk enam bulan pertama sebanyak 47,000 unit
- Mitsubishi Outlander pula adalah peneraju segmen kenderaan PHEV
Berikut pula prestasi jualan oleh ahli Pakatan untuk enam bulan pertama 2018:
- Nissan Motor Co. Ltd. dengan jenama Nissan, INFINITI dan Datsun mencatat jualan sebanyak 2.8 juta unit
- Groupe Renault melalui Renault dan Dacia mencatat jualan sebanyak 2.1 juta unit
- Mitsubishi Motors pula mencatat jualan sebanyak 616,648 unit
Selain mencatat jualan tertinggi dalam Pakatan, Nissan juga menyumbang laba yang besar kepada Renault. Sumbangan bersih Nissan untuk suku ketiga (1 Julai – 30 September) 2018 kepada Renault dianggarkan berjumlah EUR 384 juta.
Dengan prestasi jualan dan sumbangan ini, ternyata Nissan adalah angsa bertelur emas buat Pakatan. Itu belum termasuk beberapa model yang berkongsi teknologi dari Nissan Juke, X-Trail, Navara dan Sylphy.
Pada pendapat kami sudah sampai masanya Pakatan melihat kembali kepada perkongsian yang terjalin supaya lebih saksama.
Krisis Carlos Ghosn adalah ujian dan peluang untuk mereka terus menongkah persaingan dunia automotif yang semakin mencabar.
BACA: INGIN MEMBELI NISSAN GTR? INI FAKTA PENTING PENJAGAAN SEBUAH NISSAN GTR