Buletin

GIVI SAMBUNG TAJAAN KEPADA YUZY UNTUK TAHUN KELIMA

Pemilik pasukan Givi Honda Yuzy Racing, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini gembira kerana pengeluar aksesori motosikal antarabangsa dari Itali, Givi terus kekal sebagai penaja utama pasukan buat tahun kelima berturut-turut menjelang pusingan pembukaan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2017 di Temerloh, Pahang pada 4 dan 5 Mac ini.

Menurut bekas pelumba MotoGP negara itu, penajaan bukan sahaja untuk siri kejuaraan tempatan, sebaliknya turut menaja pasukannya untuk beraksi di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC).

“Tahun 2017 ini merupakan detik penting di dalam Cub Prix dimana jentera 150cc dijadikan sebagai tarikan utama yang menggantikan kategori CP130. Justeru, aksi musim ini begitu dinantikan peminat sukan permotoran,” kata Yuzy.

Tambah Yuzy,” Penajaan GIVI untuk tahun kelima berturut-turut ini sangat bermakna kerana jenama antarabangsa ini terus percaya untuk bersama kami didalam rancangan penjenamaan mereka di Malaysia malah rantau Asia.”

“Tahun ini juga kami akan memakai Helmet GIVI Carbon Fibre HPS40.5 yang diadaptasi untuk kegunaan perlumbaan. Yang menariknya ialah corak grafik ini merupakan rekaan yang digunakan oleh saya ketika menjadi pelumba di kejohanan GP dunia dari tahun 1996-2002,” jelas Yuzy.

Pengarah Urusan GIVI Asia Sdn Bhd, On Hai Swee berkata, “Kami sangat berbesar hati untuk kembali menaja Yuzy Racing Team. Bukan itu saja, malah kami juga akan turut serta bersama-sama di tapak promosi Cub Prix untuk beberapa siri. Dengan penambahan jumlah barangan GIVI, kami akan terus mendekati pengguna, meningkatkan pemasaran dan jualan terutama di luar lembah Klang. Juga di dalam perancangan kami ialah Helmet Edisi Khas Yuzy Racing bagi seluruh peminat sukan permotoran khususnya dan penunggang motorsikal umumnya.”

Saingan 10 pusingan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS akan bermula di Temerloh, Pahang pada 4-5 Mac ini.

BACA: CUBPRIX-KATEGORI 150CC YANG LEBIH SENGIT

BACA: CUBRPIX-REGULASI BARU AKAN DIGUBAL PADA MEI

 

 

 

Google ads
Back to top button