Buletin

LELAKI INI FAILKAN SAMAN KEPADA FERRARI KERANA DAKWA TIPU ODOMETER

Penipuan perbatuan pada odometer (mileage) merupakan satu kesalahan serius di negara maju. Sebenarnya tiada cara untuk mengelakkan diri dari tertangkap kerana setiap kereta ini perlu menjalani pemeriksaan berkala setiap tahun.

Setiap kereta perlu diperiksa untuk memastikannya cukup selamat berada di jalanraya dan pemeriksaan ini dilakukan oleh pihak berwajib yang ditauliahkan (seperti PUSAPAKOM). Bezanya di Malaysia, kita lakukan pemeriksaan secara sukarela sementara di negara maju, pemeriksaan ini adalah wajib.

Tetapi bagaimana pula kalau penipuan perbatuan ini bermula di premis jualan? Maksudnya, kereta yang belum didaftarkan dilaras batuannya lebih rendah. Sudah tentu sukar untuk mengetahuinya kecuali dengan maklumat yang dibocorkan oleh sumber dalaman pengeluar.

Inilah yang berlaku pada Ferrari di Florida, Amerika Syarikat, seorang pemilik LaFerrari dikatakan telah membuat keuntungan berjuta USD dengan merasuah mekanik melaras semula odometer sebelum dijual kepada pemilik baru. Satu saman telah difailkan oleh seorang bekas jurujual Ferrari dikatakan bakal menjejaskan imej pengeluar kereta ternama di dunia itu.

Penipuan dikatakan dibuat dengan menggunakan alat yang dinamakan “Deis Tester” yang didakwa digunakan oleh pengedar Ferrari di seluruh dunia dengan kebenaran ibu pejabat Ferrari di Itali untuk mengubahsuai odometer kepada bacaan yang lebih rendah.

Ia bukan satu dakwaan yang main-main kerana ia melibatkan nama Ferrari yang cukup berprestij. Malah ia juga satu kesalahan mengikut undang-undang persekutuan Amerika Syarikat. Namun mereka masih belum dibuktikan bersalah, jadi simpan dulu komen anda.

Saman terhadap Ferrari tersebut difailkan oleh Robert Root, seorang bekas jurujual Ferrari di New Country MotorCars of Palm Beach. Beliau mempunyai pengalaman jualan selama lebih 22 tahun dan telah menjual ratusan Ferrari kepada pelanggan terpilih. Beliau telah diberhentikan selepas mendapat tahu mengenai kewujudan alat yang dinamakan Dies Tester tersebut.

Menggunakan alat tersebut, mekanik yang dilatih oleh Ferrari boleh mengubahsuai odometer Ferrari terpakai kepada angka 0. Penggunaannya akan menyebabkan isyarat dihantar ke ibu pejabat Ferrari di Modena yang kemudian akan meluluskan pengubahsuaian tersebut.

Dengan kata lain ini bukannya taktik yang boleh dilakukan oleh mekanik-mekanik tidak bertauliah di bawah pokok. Ia melibatkan perisian dan perkakasan serta kerjasama dalaman. Paling mengejutkan bila penipuan ini dikatakan dilakukan dan diluluskan dengan pengetahuan Ferrari sendiri.

Berdasarkan dakwaan yang difailkan, Deis Tester dikatakan mempunyai program perisian yang membolehkan odometer diubahsuai kepada sifar. Ferrari dan sekutunya dikatakan telah melatih mekanik mereka di seluruh dunia untuk menggunakan Deis Tester.

Root juga telah menamakan Steven McMillan sebagai pelanggan yang bertanggungjawab membayar mekanik di pusat jualan tersebut untuk mengubahsuai odometer LaFerrari beliau kepada angka 0. Ia kemudiannya meningkatkan nilai kereta tersebut sebanyak beberapa juta USD lagi berbanding asal.

Berita ini disifatkan sebagai satu lagi skandal baru dalam industri permotoran selepas skandal Dieselgate Volkswagen dan skandal penyalaan (ignition) General Motor. Jika terbukti benar, ia akan jadi satu tamparan hebat buat Ferrari dan mengecewakan para peminatnya di seluruh dunia. Tokoh pelaburan terkenal Warren Buffet pernah berkata, “Anda memerlukan masa hampir 20 tahun untuk membina reputasi dan hanya lima minit untuk memusnahkannya.”

Harap-harap tuduhan ini cumalah salah faham antara bekas pekerja dan bekas majikan kerana reputasi Ferrari sebagai pengeluar kenderaan eksotik terulung kini menjadi taruhan. Malah kalau difikirkan secara logik, adalah sesuatu yang mustahil untuk syarikat ternama seperti Ferrari boleh terlibat dalam skandal seumpama ini dan merosakkan nama baik mereka yang dibangunkan dengan susah payah sekian lama.

Tetapi dunia perniagaan sebenarnya sukar di duga. Siapa tahukan? Tunggu sahaja keputusan mahkamah nanti.

kredit DAILYMAIL UK

BACA: LELAKI INI DI SAMAN DI RUMAHNYA SENDIRI

BACA: TAK JADI SAMAN FERRARI, NSX LEBIH BAGUS

BACA: 10 SAMAN TRAFIK TERMAHAL DI DUNIA

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button