Buletin

KERETA MAHAL, HATI SENANG? INI JAWAPAN TINJAUAN PEMILIK KERETA MEWAH DAN BIASA

Pernahkah anda terfikir, jika memiliki kenderaan lagi mahal dari sekarang bermakna ia akan memberi pengalaman yang lebih baik? Tidak semestinya kerana satu kajian di Britain menunjukkan pemilik kereta biasa lebih gembira dengan apa yang dimiliki mereka.

Keputusan itu diumumkan oleh Driver Power yang merupakan tinjauan permotoran terbesar di Britain.

Tahukah kereta apa yang paling memuaskan hati pemiliknya?

Skoda Superb dengan 93.4 peratus markah kepuasan. Lebih menarik ditempat kedua turut diduduki oleh Skoda melalui model Yeti dengan 93.3 peratus markah.

Suatu yang aneh apabila walaupun Skoda berada dalam kumpulan VW, dua tempat tercorot turut diduduki oleh jenama adik beradik iaitu VW up! dan Audi A1 yang biasa dikaitkan dengan kualiti.

Satu lagi fakta menarik apabila hanya satu jenama premium berada dalam kedudukan lima teratas tinjauan yang disiarkan di majalah Auto Express itu. Lexus RX berada di tempat ketiga dengan 93.1 peratus markah dan menariknya mata itu turut dikongsi oleh Toyota RAV 4.

Di tempat kelima pula ialah satu lagi model kebanyakan iaitu Kia C’eed dengan 93 peratus markah.

Tinjauan yang dilakukan itu turut menemui beberapa lagi dapatan menarik. Di antaranya ialah kereta Jaguar XF didapati paling bermasalah dengan satu pertiga pemilik (30.9%) mengakui model mereka mempunyai masalah dalam tempoh 12 bulan pemilikan.

Bukan itu sahaja, sebuah lagi model Jaguar iaitu XE turut mempunyai reputasi kurang baik dengan 26.7 peratus mengalami masalah dalam tempoh sama. Land Rover Discovery Sport juga serupa dengan 25.3 peratus pemilik mengakui terdapat masalah dalam tempoh 12 bulan memandunya.

“Sesetengah orang mempunyai pendapat negatif tentang jenama seperti Skoda dan Kia, walau bagaimanapun keputusan tinjauan Driver Power ini menyangkal apa yang mereka rasakan,” kata Ketua Editor Auto Express, Steve Fowler.

Tahun ini adalah kali yang ke 16 tinjauan Driver Power dibuat dan ia merupakan kajian kepuasan kenderaan terbesar di UK. Untuk Tinjauan Kereta Baharu, responden yang memiliki kereta dalam tempoh 12 bulan ke bawah diminta untuk menjawab 31 jumlah soalan dalam pelbagai aspek.

Set soalan itu merupakan salah satu dari tujuh seksyen dalam program penilaian Driver Power yang mana telah menerima lebih 70,000 respon untuk tahun ini.

Rating peratus keseluruhan diperolehi daripada markah purata yang terdiri daripada sembilan kriteria pemilihan seperti keselesaan, pengendalian, kos pemilikan dan ketahanan.

Secara keseluruhannya, pemandu di Britain berpuas hati dengan kereta baharu yang dimiliki berdasarkan markah purata sebanyak 89.5 peratus.

Walaupun mencatat markah tinggi namun kebanyakan pemilik mengatakan mereka akan mengundi untuk penjimatan bahan api, penambah baikan pada sistem navigasi satelit dan juga ruang yang lebih untuk simpanan bagasi.

BACA: TOYOTA COROLLA ALTIS BAKAL GUNA ENJIN BMW

Berikut ialah keputusan tinjauan Driver Power yang dibuat di UK.

Lima teratas: 

Skoda Superb – 93.4%
Skoda Yeti – 93.3%
Lexus RX – 93.1%
Toyota RAV4 – 93.1%
Kia C’eed – 93.0%

Lima tercorot:

Volkswagen up! – 85.5%
Audi A1 – 86.5%
Citroen C4 Cactus – 86.6%
Ford Mondeo – 86.8%
Citroen C1 – 87.0%

Google ads
Back to top button