Buletin

KIA OPTIMA 2019 – INILAH SAINGAN HONDA ACCORD DAN TOYOTA CAMRY

Sekarang ini saingan kereta segmen D nampak tenang seperti air di tasik. Tiada kocakan atau arus deras. Berbeza dengan beberapa tahun dahulu di mana Toyota Camry sedap berentap dengan Honda Accord. Sekali-sekala Mazda6 dan Nissan Teana melintas.

Tidak pasti kenapa mungkin kerana pengguna segmen ini sudah beralih kepada SUV atau terus ke segmen lebih tinggi seperti Toyota Vellfire dan Alphard. 

Selain kereta segmen D buatan Jepun, kita juga disajikan dengan kereta buatan Korea Selatan iaitu Kia Optima dan Hyundai Sonata.

Kedua-dua model ini menambah perisa dalam persaingan terutama sekali Kia Optima.

Kia Optima hadir dengan ciri-ciri tersendiri, bergaya, spesifikasi tinggi dan seperti biasa pada harga yang menarik. Ia memberi alternatif yang kontra kepada Accord dan Camry dengan pembawakan condong kepada matang dan berusia.

Selepas beberapa ketika dan sama seperti pesaing lain, jumlah Optima dengan plat pendaftaran baharu di atas jalan raya semakin berkurangan.

Segmen D ini bukan tidak ada perisa, Honda telah mengemaskini Accord dengan pelbagai teknologi canggih manakala Kia pula telah memperkenalkan Optima GT baharu.

Optima GT ini sebenarnya adalah varian tertinggi dalam famili Optima dan oleh demikian harganya juga tinggi iaitu sekitar RM 179 ribu.

Harga yang tinggi tersebut juga mungkin salah satu sebab kenapa Optima tidak banyak di atas jalan raya.

Nun jauh di Amerika Syarikat, Kia telah memperkenalkan Optima 2019 dan dari segi visual ia sebenarnya tidak banyak beza dengan Optima di negara kita.

Tidak seperti di sini, Optima USDM dibahagikan kepada beberapa varian iaitu LX, S dan EX, SX dan SX Limited. Seperti yang dinyatakan sebelum ini Optima MDM pula hanya ditawarkan dalam varian GT.

Berikut ialah beberapa perubahan pada Kia Optima USDM:

  • Optima LX – Lampu LED DRL ala Kia Stinger, roda aloi 16 inci rekaan baharu dan gril matte grey
  • Optima S – Lampu kabus baharu, lampu belakang LED, ekzos berkembar, gril hitam kilat, roda 18 inci
  • Optima EX – Enjin turbo 178 hp dengan transmisi tujuh kelajuan berkembar, roda 17 inci, kerusi dengan fungsi penghangat,  Smart Cruise Control dengan Stop-and-Go
  • SXL dan SXL (Limited) – Roda 18 inci dengan tayar Michelin 235/45R-18, lampu LED baharu, lampu ambien dalaman, stereng sport, Smart Cruise Control dengan Stop-and-Go
  • SX – Kerusi dua tona hitam dan merah, bamper sport dengan lampu LED, bumbung panorama, sistem audio premium Harman Kardon® 

Kesemua varian Optima USDM dipakejkan dengan sistem keselamatan ADAS1 sebagai kelengkapan standard. Sistem ini berfungsi bagi mengurangkan kadar kerosakan akibat pelanggaran atau langsung mencegahnya daripada berlaku.

Kia Optima GT MDM – RM 179K

Di antara teknologi yang digunakan ialah Forward Collision-Avoidance Assist, Forward Collision Warning System, Driver Attention Warning, Lane Keep Assist dan Lane Departure Warning.

Dari segi luaran, Kia Optima 2019 dan Optima tempatan sebenarnya tidak banyak berbeza dengan Optima sebelum ini. Masih mengekalkan reka bentuk yang sleek dan kontra dengan Accord dan Camry yang lebih konservatif. 

Tinggal lagi hanya varian GT yang ditawarkan dan berada di luar liga untuk bersaing dengan Accord dan Camry varian pertengahan yang dipasarkan pada harga sekitar RM 150 ribu. 

BACA: KIA 21 KALI MENANG RED DOT, TAHUN INI MENANG 3 SEKALIGUS

BACA: ALKISAH KIA CARENS – MPV KOMPAK K-POP

Google ads
Back to top button