Buletin

S660 ROADSTER DIBINA OLEH MUKUMOTO-JURUTERA TERMUDA DALAM SEJARAH HONDA

Apa yang anda lakukan sewaktu berusia 22 tahun? masih sibuk dengan kertas peperiksaan di universiti? atau selfie sebab berjaya dalam perniagaan MLM?, menerbitkan buku kata-kata hikmat? atau merempit? Nah dengar kisah ini.

Tanpa sebarang pengalaman dalam bidang kejuruteraan, seorang anak muda berjaya mengalahkan lebih 400 penyertaan lain dalam satu pertandingan dalaman di Honda, Jepun.

BACA: HONDA CBR250RR INSIPRASI KARBON

Hasilnya, Ryo Mukumoto yang pada ketika itu baru berusia 22 tahun diberi kepercayaan untuk membangunkan sebuah kereta sports untuk Honda Motor Co. dalam tempoh lima tahun.

Ini sekali gus menjadikan Mukumoto sebagai ketua jurutera paling muda dalam sejarah Honda. Kini, idea geniusnya akan dipasarkan di Jepun sebagai Honda S660 roadster.

“Generasi saya beranggapan kereta hanyalah satu alat pengangkutan. Saya mahu mereka kata, hmm… kereta ini berbeza. Kami telah berjaya menghasilkan sebuah kereta yang memang menarik perhatian,” kata Mukumoto ketika ditemuramah oleh Bloomberg di Wako City, Jepun baru-baru ini.

Nama S660 roadster terhasil daripada had enjin 660cc untuk model Kei-Kar di pasaran Jepun.

Penulis buku mengenai Honda, Osamu Katayama menyatakan bahawa Honda sememangnya terkenal dengan semangat mencabar dan kejayaannya menghasilkan kereta-kereta yang unik.

HONDA S660 MULA DIJUAL DI JEPUN

Dengan meletakkan Mukumoto sebagai ketua, Honda membuktikan bahawa ia memang mempercayai bakat-bakat muda, budaya yang diterapkan oleh pengasas Honda sendiri iaitu Soichiro Honda. Honda berjaya membina syarikatnya menjadi antara pengeluar kenderaan terbesar dunia, walaupun tidak mempunyai pendidikan formal.

Mukumoto menjadi peminat jenama Honda selepas membaca sebuah buku komik mengenai Soichiro sewaktu bersekolah rendah. Dia kemudian menyertai Honda pada usia 19 tahun selepas tamat belajar di sebuah sekolah vokasional di wilayah Okayama, barat Jepun.

Sebagai peminat tegar kereta, Mukumoto memandu Honda S2000 ke tempat kerja dan cukup gemar melayan selekoh di laluan berbukit di Tochigi, utara Jepun.

Kei-Kar mewakili 40 peratus jualan kereta baharu di Jepun tahun lalu. Angka itu banyak   disumbang oleh kadar cukai lebih rendah serta perang harga di antara Suzuki Motor Corp. dan Daihatsu Motor Co.

Jentera berpacuan roda belakang dengan bumbung jenis soft-top itu akan pada harga ¥2 juta (RM62,283) seunit. Ia bersaing dengan model Daihatsu Copen, roadster berpacuan roda hadapan yang berharga ¥1.8 juta (RM56,000).

Sebelum S660 roadster, Honda pernah menghasilkan sebuah kereta sports yang diberi nama Honda Beat pada tahun 1991 hingga 1996 di Jepun.

“S660 roadster akan menjadi sebuah model ikonik kerana ramai peminat fanatik Honda sudah lama menunggu jentera ini,” kata penganalisis HIS Automotive di Tokyo, Yoshiaki Kawano.

*kredit foto: Bloomberg 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button