Artikel Pilihan

RODUWAN RASHID JUARA MRC 2017 RALLY OF PERLIS

Walaupun berita ini sedikit ke belakang, ala-ala throwback kaedahnya namun izinkan Brader Karrager berkongsi sedikit mengenai berita rali tanah air.

Ikut perkiraan, belum ada satu pun dalam laman web tempatan yang menyiarkan berita tentang perkembangan dunia rali ini. Sebetulnya tanggal 13-14 Mei 2017 yang lalu telahpun berlangsungnya pusingan pertama MRC 2017 di negeri yang terkenal dengan mangga harum dan manis itu.

BACA : PROTON AKAN KEMBALI KE KEJOHANAN RALI DUNIA 2018 DENGAN IRIZ R5

BACA : INILAH PEMANDU TERBAIK RALI SEPANJANG ZAMAN

Apa yang menariknya, kejuaraan pembuka tirai bagi musim 2017 ini mendapat perhatian apabila seorang lagi pelumba yang dianggap sebagai lejen, Haji Sutan Mustaffa Salihin kembali memberikan cabaran. Setelah menghilang dalam arena rali selama beberapa tahun, beliau kembali  bersama jentera Proton Satria 1.8 yang telah ditala semula bagi kegunaan rali. Sebelum ini, kereta tersebut telah digunakan untuk berlumba di Litar Sepang.

Cuma khabar duka buat pelumba yang betul-betul lejen, Karamjit Singh apabila Gen2 4wd turbo yang dimiliki oleh pasukan Felda Rally Team sebelum ini gagal disiapkan pada saat-saat akhir. Tidak mengapalah. Ada hikmahnya barangkali. Siapalah kita untuk menyalahkan takdir, iya tak?

Ok, berbalik kepada tajuk utama berita, kejuaraan pertama ini telah berjaya dirangkul oleh saudara Roduwan Rashid yang memandu Subaru Impreza versi New Boyz. Sungguhpun bukan generasi terbaharu, namun jentera yang dipandu beliau berada dalam tahap yang cukup gemilang untuk membawanya ke garisan penamat,  sekali gus menjulang nama DWau One Motorsports BDRT. Bukan main laju dia punya pergi.

Tempat kedua keseluruhan pula milik seorang lagi pemandu dari pasukan sama, Mohd Shazmie Ilias yang memandu Mitsubishi Evo 6. Inilah yang orang gelar “sama-sama naik”. Manakala tempat ketiga pula dirangkul oleh Tuan Haji Sutan setelah berjaya memintas saudara Rafiq dari pasukan MRU yang mengalami masalah jentera.

Dengan pusingan kedua yang bakal berlangsung pada Ogos nanti di Johor, serentak dengan kejohanan APRC pasti saingan lebih sengit. Mungkin elok juga kalau Brader Karrager membuat liputan secara langsung dari sana. Orang kabor, debar saingan APRC ni lain macam sikit. Merasa jugalah nak melihatkan Skoda ke, Evo X Fan Fan secara langsung ke, iya tak?

Sumber : Malaysian Rally

Google ads

B K

Back to top button