Buletin

SUV JAGUAR F-PACE – BERMULA RM598,800 SEUNIT

Jaguar Land Rover Malaysia (JLRM) melancarkan SUV berprestasi tinggi Jaguar F-PACE ke pasaran Malaysia.

Jentera tersebut hadir dalam dua varian iaitu Prestige dan R-Sport. Kedua-duanya dijana oleh enjin petrol 3.0 liter 340PS V6 super caj daripada F-TYPE dan dipadankan dengan transmisi automatik elektronik 8 kelajuan bersama ciri Jaguar Sequential Shift™.

jaguar-f-pace-r-sport-2016-mekanika-5

Rangkaian kuasa itu membolehkan F-PACE memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.8 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum yang dihadkan secara elektronik, 250 km/j.

F-PACE 3.0 liter Supercharged Prestige yang diimport sepenuhnya dijual pada harga RM598,800 seunit. Sementara R-Sport yang mempunyai spesifikasi lebih tinggi berharga RM658,800. Harga yang disebut adalah termasuk GST, tanpa cukai jalan, pendaftaran dan insurans.

jaguar-f-pace-r-sport-2016-mekanika-1

F-PACE didatangkan dengan Jaguar Care yang mencakupi waranti dan servis percuma selama lima tahun. Selain Jaguar Roadside Assistance untuk tiga tahun.

Bagi mereka yang ingin tampil menyerlah, terdapat pilihan Black Pack R-Sport eksklusif dengan gril radiator dan lencana R-Sport..

jaguar-f-pace-r-sport-2016-mekanika-3

Pengarah Urusan JLRM, Datuk Aishah Ahmad menyatakan bahawa sebagai SUV pertama daripada Jaguar, F-PACE pasti dapat meningkatkan tarikan terhadap jenama ini.

Dihasil menggunakan Lightweight Aluminium Architecture, F-PACE dibina berdasarkan model konsep C-X17. Bahagian hadapannya diserlahkan dengan lampu LED dan gril besar berwarna hitam.

jaguar-f-pace-r-sport-2016-mekanika-2

F-PACE boleh menempatkan lima orang dewasa dengan selesa. Ruang kargonya juga cukup luas, 508 liter walaupun setelah dimuatkan dengan tayar ganti sementara. Ia dilengkapi sistem infotaimen Jaguar InControl Touch sebagai standard untuk varian  Prestige.

Dengan skrin sentuh bersaiz 8 inci, interface yang intuitif itu boleh menyokong isyarat telefon pintar dan tablet seperti “swipe” untuk beralih dari satu laman ke laman yang lain.

jaguar-f-pace-r-sport-2016-mekanika-9

Sistem premium InControl Touch Pro dipasang pada varian R-Sport. Ia terdiri daripada skrin sentuh 10.2 inci dengan pemproses quad-core, pemacu solid-state dan Ethernet yang ultra pantas.

F-PACE turut menampilkan Activity Key Jaguar yang pertama di dunia. Jalur pergelangan tangan kalis air dan hentakan itu dilengkapi transponder bersepadu. Hadir sebagai satu opsyen, ia membolehkan kunci disimpan dengan selamat di dalam kenderaan.

Maklumat lanjut mengenai Jaguar F-PACE dan barisan lengkap model Jaguar, sila layari www.jaguar.com.my atau kunjungi pengedar berdaftar – SISMA Auto Glenmarie, Sime Darby Auto Connexion Petaling Jaya, SISMA Auto Kuala Lumpur dan SISMA Auto Penang.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button